Baru-baru ini kecoh dalam media sosial berkenaan waktu pendaftaran masuk dan keluar hotel.
Peraturan pendaftaran masuk pada pukul 4 petang dan keluar pukul 11 pagi hotel berkenaan disifatkan sebagai tidak masuk akal.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh seorang pengguna aplikasi X yang menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya campur tangan bagi menyelaraskan waktu pendaftaran masuk dan keluar tempat penginapan berbayar di Malaysia.
Orang ramai bukan sahaja menyokong cadangan tersebut, malah ada netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing.
Ada juga netizen yang bersedia mengambil tindakan untuk memboikot mana-mana hotel atau inap desa yang mengamalkan polisi yang disifatkan tidak adil tersebut.
Rata-rata orang ramai berpandangan bahawa penetapan polisi itu sengaja ‘mengundang’ bahana, lebih-lebih lagi ramai rakyat Malaysia ketika ini memilih negara jiran seperti Hatyai, Thailand untuk bercuti.
Kenyataan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel memaklumkan pemilik premis bebas menetapkan masa pendaftaran masuk kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang perhotelan membuatkan orang ramai bertambah kecewa.
Bagi pensyarah Fakulti Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr. Basri Rashid, polisi yang disifatkan ‘kurang bijak’ itu perlu diubah dan dikembalikan kepada asal.
Menurut beliau, pelanggan yang menginap di hotel atau inap desa mempunyai tujuan utama iaitu berehat dan melepaskan tekanan.
“Bagi saya, kemasukan ke bilik hotel bermula pukul 4 petang dan keluar pukul 11 pagi satu perkara yang tidak relevan dan disifatkan tidak adil kepada pengunjung kerana mereka tetap perlu membayar jumlah yang sama,” katanya.
Andai polisi itu dilaksanakan, impaknya akan dapat dilihat kelak.
“Ketika itu jangan sesekali marah atau merayu rakyat untuk kembali menyokong pelancongan domestik,” katanya.
Jelasnya, dalam hal ini, rakyat mempunyai kuasa besar dan mempunyai pilihan dan alternatif yang begitu banyak dengan salah satunya ke luar negara khususnya Thailand mahupun Indonesia yang jauh lebih berbaloi.
Bersetuju dengan Basri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel and Tours (Nuh Travel), Abdul Halim Aliumar yang menggesa pihak pengurusan hotel dan inap desa menyemak semula jadual pembersihan dan menyesuaikannya agar lebih fleksibel dan tidak menyusahkan tetamu.
Hal ini kerana katanya, faktor pembersihan menjadi antara alasan utama pihak hotel dan inap desa di negara ini mengubah polisi sehingga memerlukan tempoh tambahan masa gara-gara kekurangan tenaga kerja selain langkah penjimatan kos.














