fbpx

Selepas kemarau, bah pula datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
METMALAYSIA akan memantau keadaan cuaca secara berterusan selama 24 jam sehari dan amaran cuaca buruk seperti ribut petir, hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora akan dikeluarkan. - GAMBAR HIASAN

BEBERAPA bulan lalu, negara dilanda suhu panas melampau sehingga ada empangan menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah.

Beberapa kes kematian turut dilaporkan akibat strok haba sebelum cuaca bertukar hujan dan angin kencang melanda Semenanjung Malaysia.

Namun, pada 17 September lalu, beberapa daerah dilanda bah akibat hujan lebat yang berlaku sejak Isnin lalu menyebabkan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Banjir kilat turut berlaku di beberapa kawasan di Pulau Pinang pada hari sama selepas hujan lebat dan angin kencang selama beberapa jam sehingga menyebabkan puluhan pokok tumbang.
Daerah Kerian di Perak tidak terkecuali dilanda banjir berikutan hujan lebat dan fenomena air pasang besar.

Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, fasa peralihan monsun di negara ini bermula pada Selasa lalu dan dijangka berterusan sehingga awal November ini.

“Ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya (MDB) di negara kita. Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara kita menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa yang singkat terutama di barat, pedalaman Semenanjung termasuk Kedah, Pulau Pinang, barat Sabah dan barat serta tengah Sarawak,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Hisham berkata, angin kencang yang melalui ruang udara Malaysia adalah lebih kepada kesan penumpuan ke kawasan tekanan rendah (trough line) yang terbentuk di utara Laut China Selatan pada hari kejadian banjir di utara Malaysia.

Angin baratan bertiup kencang dari Pulau Sumatera melalui laut Selat Melaka Utara teleh membentuk garis badai yang bergerak memasuki negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak pada 16 serta 17 September lalu.

Pada 16 September lalu, terdapat Taufan Bebinca yang membadai Shanghai, China.

Taufan Yagi yang berlaku seminggu sebelum bah di utara Semenanjung tiada kaitan dengan episod banjir tersebut.

Beliau berkata, MetMalaysia akan memantau keadaan cuaca secara berterusan selama 24 jam sehari dan amaran cuaca buruk seperti ribut petir, hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora akan dikeluarkan.

“Semua amaran tersebut akan disebarkan melalui pelbagai medium seperti laman sesawang, media elektornik (televisyen, radio), media sosial (Facebook, Instagram, X, Youtube) dan juga aplikasi myCuaca.

“Oleh kerana keadaan cuaca buruk boleh berlaku pada bila-bila masa, jadi adalah penting untuk kita membuat pemantauan sepanjang masa dan amaran perlu dikeluarkan dengan lebih awal sebagai persediaan oleh semua pihak termasuk pihak pengurusan bencana,” katanya.

Pengarah Pusat Kajian Pe­ngurusan Pembangunan Islam, Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr. Shahir Akram Hassan yang merupakan pakar falak tidak menafikan fenomena ‘supermoon’ menjadi faktor berlakunya banjir di utara Semenanjung.

“Bila bulan dekat dengan bumi, air pasang akan menjadi luar biasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI