fbpx
Isteri Hasmi sentiasa mahu membeli barangan berjenama, bergaya dan pulang ke kampung hanya dengan menaiki pesawat atas alasan dirinya seorang high taste selain mahu menjaga standardnya sebagai isteri seorang pegawai bank sedangkan Hasimi terbeban serta tidak merasakan kerjayanya hebat.- Gambar hiasan

Terseksa beristeri kaki ‘jaga standard’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGEKALKAN hubungan rumah tangga bukanlah satu perkara mudah dan perlu hadir dengan komitmen bersama.

Pun begitu, meski sudah cuba melakukan yang terbaik dan sedaya boleh mempertahankan bahtera perkahwinan, jika sudah tiba masanya karam, ia tetap akan terjadi.

Itulah yang dilalui Hasimi (bukan nama sebenar) terhadap rumah tangganya.

Kepada K2, lelaki asal Changlun, Kedah itu pertama kali membuka cerita meskipun perkara tersebut (perceraian) telah pun berlaku lebih enam tahun lalu.

“Kami kenal melalui aplikasi sosial perkenalan ketika itu. Dhia (bukan nama sebenar) yang berasal dari Kempas, Johor jauh lebih muda daripada saya.

“Kami sama-sama bekerja di ibu negara. Maka, sering kali jugalah kami keluar bersama sambil mendalami hati masing-masing,” katanya.

Hasimi berkata, Dhia boleh dikatakan seorang yang sangat urban dari segi penampilan, pandai bergaya selain cantik rupa parasnya.

Ujar Hasimi, wanita itu juga seorang yang pandai berkomunikasi dan tidak kekok bersama orang lebih tua termasuk keluarga Hasimi.

“Jadi, selepas berkenalan termasuk mengenali keluarga masing-masing, kami berdua sepakat mengambil keputusan untuk menghalalkan hubungan dengan bernikah.

“Kebetulan sejak sebelum bertemu Dhia lagi, saya memang jenis lelaki yang pandai berjimat dan ada simpanan sendiri terutama melibatkan persediaan pernikahan dan kontigensi. Oleh itu, majlis perkahwinan kami boleh juga dibuat besar-besaran. Keluarga Dhia pun biasa saja bukan berada,” katanya.

Majlis pernikahan dan persandingan diadakan dalam keadaan yang boleh dikatakan meriah dan mewah apatah lagi Dhia merupakan satu-satunya anak tunggal perempuan dalam keluarganya.

Beritahu Hasimi yang merupakan pegawai bank itu, majlis resepsi tidak dilakukan di kampungnya dan mereka adakan secara serentak di sebelah pengantin perempuan di Johor.

“Alhamdulillah segala urusan pernikahan berjalan dengan lancar.

“Selepas dua bulan berkahwin, isteri beritahu saya hasratnya untuk berbulan madu di luar negara iaitu di Jepun ketika musim sejuk untuk bermain salji.

“Kala mendengarnya, jujur saya terkejut juga kerana baru saja bernikah dan boleh dikatakan sudah banyak wang dihabiskan untuk majlis perkahwinan.

“Tetapi disebabkan permintaan isteri tercinta, saya turutkan dan terpaksa keluarkan hampir RM10,000 wang simpanan bagi kos ke Jepun selama seminggu,” katanya.

Meneruskan cerita, sepanjang di negara Matahari Terbit itu, isteri betul-betul menunjukkan sisi lainnya yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Beritahu Hasimi, Dhia begitu teruja dan banyak membeli-belah di sana dan seperti biasa duit Hasimi juga ditagih isterinya untuk tujuan tersebut.

“Bagi saya, tidak mengapalah kerana bukan untuk orang lain tetapi isteri sendiri. Lagipun kami baru berkahwin dan inilah masanya untuk saling lebih mengenali.

“Jadi bab wang ringgit dan berapa habis itu saya tidak kisah dan fikir sangat cuma sedikit terkejut kerana isteri tidak pernah menunjukkan sisi itu sepanjang mengenalinya,” katanya lagi.

Dipendekkan cerita, setiap kali pulang ke kampungnya di Johor juga, isterinya mahu pulang dengan menaiki pesawat meskipun mereka mempunyai kenderaan sendiri.

Begitu juga dengan pergi bercuti ke mana-mana, pasti Dhia akan memilih untuk menaiki pesawat berbanding kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam meskipun hanya di dalam negara.

“Pernah juga saya tanya kenapa tak nak naik kenderaan sendiri dan asyik pilih pesawat untuk pulang ke kampung.

“Dia cakap sebab nak jaga ‘standard’ dan malas nak lama-lama serta penat-penat sedangkan boleh sampai dalam waktu yang lebih cepat.

“Dhia juga beritahu dia tidak suka bersesak di atas jalan raya dan lebih bangga diri apabila dapat ke lapangan terbang sekali gus menjaga standardnya sebagai wanita bekerjaya dan bersuamikan pegawai bank,” katanya.

Dalam berbelanja juga, wanita itu hanya mahu membeli barangan yang berjenama atas alasan dirinya perlu bercita rasa tinggi (high taste).

Lima tahun berlalu dan mengikutkan kehendak si isteri yang semakin ‘mengarut’ tetapi kedekut tidak mahu menggunakan wang sendiri, perasaan Hasimi mula berubah.

Jelas Hasimi, perasaan sayang dan cinta kepada Dhia mula berkurangan kerana sikap isterinya itu yang begitu menjaga standard dan kadangkalanya tidak mengukur baju di badan sendiri.

“Saya bukan pemilik atau pengurus besar bank. Saya cuma staf biasa. Gaji saya pun cukup-cukup sahaja. Saya bukan mahu berkira bab ini, tetapi merasakan isteri langsung tidak bertimbang rasa sedangkan dia juga bekerja walau gajinya tidaklah tinggi,” katanya.

Lama bertahan hingga hilang dan terpadam rasa cinta, Hasimi mengambil keputusan untuk menceraikan isterinya.

Hasimi juga tidak rasa bersalah memandangkan mereka masih belum dikurniakan zuriat dan membawa haluan sendiri dengan cara baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN