PENINGKATAN mendadak yang dipamerkan oleh skuad kebangsaan Indonesia di pentas antarabangsa sememangnya dicemburui oleh peminat bola sepak tanah air ketika ini.
Manakan tidak, Sang Garuda membuktikan kemajuan mereka bukan sekadar ‘omong kosong’ apabila berjaya mengikat dua negara gergasi benua Asia, Arab Saudi dan Australia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2024 bulan ini.
Prestasi drastik Indonesia sememangnya membuka mata ramai pihak agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ikut jejak pasukan jiran itu agar Harimau Malaya tidak terus ‘hanyut’ selepas ini.
Apa yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia sekarang adalah merekrut pemain naturalisasi yang lahir di Eropah.
Antara yang mencuri perhatian adalah Maarten Paes yang mewakili kelab FC Dallas, Jay Idzes (Venezia), Thom Haye (Almere City), Nathan Tjoe-A-On (Swansea City) dan Rafael Struick (Brisbane Roar).
Justeru, FAM juga ketika ini tidak ketinggalan untuk melakukan perkara yang sama dengan mula bergiat aktif untuk menghubungi pemain-pemain warisan yang memiliki potensi untuk mewakili Harimau Malaya.
Seperti yang dimaklumkan oleh Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin baru-baru ini, beberapa pemain yang berpangkalan di luar negara sudah semakin hampir untuk menyarung jersi kebangsaan.
Antara pemain terbabit seperti Mats Deijl yang ketika ini mewakili kelab Go Ahead Eagles, Wan Kuzain Wan Kamal (St. Louis City) dan Iggy Houben (PSV Eindhoven).
Namun, langkah proaktif ini ada ‘pro dan kontra’ kerana boleh memberikan kesan jangka panjang terutama dalam menaikkan bakat pemain-pemain kelahiran tempatan.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli melihat FAM tidak perlu terburu-buru mencari pemain berdarah warisan sebaliknya berusaha untuk menggunakan acuan sendiri dalam meningkatkan prestasi Harimau Malaya.
“Kita tidak perlu terlalu ikut cara Indonesia. Mereka negara besar dan memiliki ramai pemain kacukan di luar negara. Malah, saya percaya apa yang dilakukan hanyalah proses jangka pendek dan saya fikir FAM perlu fikirkan pelan jangka panjang untuk menaikkan lagi mutu bola sepak negara.
“Apa yang penting adalah sistem akar umbi perlu diperkasa dalam misi menaikkan lagi bakat pemain-pemain tempatan.
“Jika kita ambil semua pemain luar (mewakili skuad kebangsaan), apa akan jadi dengan pemain-pemain tempatan. Namun, saya tidak menafikan ia juga ada kebaikan tetapi dengan syarat, pemain-pemain luar yang dipanggil mestilah gred A yang berkualiti.
“Paling penting, mereka perlu terus bermain secara kompetitif di liga luar negara dan bukan dibawa kembali bermain dalam kancah bola sepak tempatan,” katanya.
Sementara itu, bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh berpendapat ‘anak tempatan’ sudah tersadai apabila gagal diserap dalam skuad kebangsaan ketika ini.
Menurut Dollah, pemain tempatan semakin terpinggir dalam era bola sepak moden.
“Sebenarnya, lokal kita dah banyak tersadai. Tapi, kalau tanya saya, mereka tidak boleh give up. Pemain-pemain tempatan kita kena fight,” katanya.
Buat masa ini, skuad Harimau sudah memiliki ramai pemain bertaraf naturalisasi dengan Endrick dos Santos, Paulo Josue dan Romel Morales dipanggil pada kempen Pestabola Merdeka sebelum ini.
Skuad kebangsaan turut didominasi pemain berdarah warisan seperti Matthew Davies, Daniel Ting, Dominic Tan, Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong, Nooa Laine dan Darren Lok.














