fbpx
Sebahagian premis tutup, yang masih beroperasi lengang tanpa pelanggan.

Ramai boikot, bisnes GISBH lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Operasi perniagaan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) kini lumpuh selepas sebahagian besar rangkaian premisnya di seluruh negara ditutup ekoran serbuan besar-besaran pihak berkuasa terhadap syarikat itu.

Jika masih beroperasi sekali pun, kebanyakan premis perniagaan lengang tanpa pelanggan sejak tersebar dakwaan syarikat terbabit mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja dan dipercayai masih memperjuangkan ajaran Al-Arqam yang diharamkan.

Di Putrajaya, empat premis milik GISBH melibatkan Ikhwan Delights, Ikhwan Cafe, Ikhwan Bakery dan Ikhwan Mart di Jalan Diplomatik dan Jalan Kedah di Presint 15, tidak lagi menjalankan operasi sejak beberapa hari lalu.

Pekerja swasta mahu dikenali sebagai Hanis, 30, berkata, sebelum ini premis terbabit sentiasa beroperasi, namun dia terkejut apabila melihat sudah ditutup.

“Hari ini (semalam) baru saya perasan yang kedai ini tutup, sebelum ini saya lihat buka sahaja. Mungkin kerana terpalit dengan isu-isu panas yang melanda ­GISBH ketika ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Di Shah Alam, Selangor, sebuah premis Ikhwan Cafe di bandar raya ini tidak lagi berope­rasi sejak beberapa hari lalu dan beberapa kerusi serta meja di­biarkan sahaja di luar kafe.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Suzana, 34, berkata, sebelum ini Ikhwan Cafe sentiasa dibuka walaupun tidak ramai orang yang datang, tetapi sekarang langsung tidak dibuka.

“Mungkin sebab beberapa kes melibatkan GISBH, saya tak pasti sama ada mereka tutup sementara atau tidak,” ujarnya.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, semua premis perniagaan milik GISBH di bandar raya ini dan Kuala Nerus juga didapati ditutup sejak Jumaat lalu.

Ia membabitkan sebuah restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Jalan Tengku Mohamad berhampiran Gong Badak.

Sebelum ini kedua-dua premis itu penuh dengan pelanggan, namun tiba-tiba lenggang sejak penyebaran dakwaan eksploitasi kanak-kanak sebelum ditutup pada Khamis lalu.

Di Sungai Petani, Kedah, sebuah premis Ikhwan Cafe di Bandar Laguna Merbok ditutup sejak Jumaat lalu.

Seorang pelanggan tetap yang mahu dikenali sebagai Amran, 43, berkata, kafe itu menjadi antara kedai makan yang sering dikunjunginya untuk sarapan dan tengah hari.

“Saya ke kafe itu Jumaat lalu untuk makan, tetapi tutup dan datang lagi hari ini dan masih tutup. Saya tengok pekerjanya elok bertudung dan lelaki memakai songkok, jadi saya makan di sini bagi menyokong perniagaan mereka.

“Namun saya terkejut apabila tahu GISBH kini sedang disiasat dan Perlis pula mengisytiharkan ajaran diamalkan mereka sesat,” ujarnya.

Sementara itu, di Langkawi, sebuah hotel dan restoran milik GISBH yang ditutup telah menanggalkan papan tanda perniagaan di hadapan premis.

Di Kota Bharu, Kelantan, sebuah premis Ikhwan Bakery di Jalan Long Yunus tidak lagi beroperasi ketika isu membabitkan GISBH semakin panas dengan penahanan ratusan pengikut dan juga pemimpin syarikat terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN