LANGKAWI – Pengalaman terkandas di dalam feri selama lebih lapan jam gara-gara pengangkutan itu tersangkut pada beting pasir akibat ditiup angin kencang di perairan Kuala Perlis, petang kelmarin adalah yang terburuk bagi sebahagian 567 penumpang terlibat.
Feri untuk perjalanan pukul 2.30 petang kelmarin dari Terminal Feri Kuala Perlis itu selamat tiba di Terminal Penumpang Kuah, di sini kira-kira pukul 10.40 malam, hari sama.
Rata-rata penumpang memberitahu sudah serik untuk menaiki feri, namun tiada pilihan lain.
Menurut penumpang, Mohd Firdaus Samson, 34, yang pulang bercuti di kampung sempena cuti hujung minggu berkata, dia bersama isteri serta dua anak kecil berusia lapan bulan dan tiga tahun merupakan antara penumpang terjejas.
“Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira sejam, menjadi lebih lapan jam. Saya kasihan melihat keadaan dua anak saya yang tidak selesa kerana terkurung di dalam feri dengan muatan ratusan penumpang.
“Kami terpaksa berpanas selama lebih tiga jam apabila pendingin hawa dan lampu feri terpaksa ditutup. Anak-anak saya menangis kepanasan dan kru kapal memberi kotak terpakai untuk mengipas anak serta air botol tambahan bagi membancuh susu,” katanya ketika ditemui malam kelmarin.

Seorang penumpang, Mansor Mad Zakaria, 58, memberitahu, pihak pengurusan feri hanya memberikan roti dan air mineral kecil sekali sahaja selama lebih lapan jam terkandas.
“Ada penumpang yang bernasib baik dapat makan nasi kerana saya dengar hanya 20 bungkus yang diagihkan sedangkan feri besar ini memuatkan hampir 600 orang penumpang,” ujarnya.
Seorang lagi penumpang yang berasal dari Langkawi, Norpishah Hassan, 46, berkata, dia baru sahaja pulang menghadiri kenduri kahwin di tanah besar.
“Kalau diikutkan kami berada sangat dekat dengan jeti tetapi langsung tiada usaha untuk berpatah balik atau menarik semula feri ke jeti. Feri hanya menyambung pelayaran pada pukul 9.20 malam dan tiba di jeti Langkawi pada pukul 11 malam,” katanya.
Kelmarin, seramai 701 penumpang feri daripada tiga trip terkandas apabila pengangkutan itu terpaksa berpatah balik serta dibatalkan akibat cuaca buruk. Semalam, 10 perjalanan dua hala dari Terminal Feri Kuala Kedah turut dibatalkan.















