fbpx
Pekebun dan penjual durian menunjukkan buah durian kampung jenis premium yang ditanam di Mukim Hulu Cheka di Jerantut semalam.

Datang Hulu Cheka jika mahu durian sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Keenakan, keunikan dan kepelbagaian durian kampung di Mukim Hulu Cheka di sini membuatkan kawasan berkenaan bakal ditransformasikan sebagai hab durian kampung premium (DKP) di negeri ini.

Pegawai Pertanian Daerah Jerantut, Rafeah Rabiatun Othman berkata, kawasan Mukim Hulu Cheka dilihat amat berpotensi kerana mempunyai pelbagai durian kampung berkualiti dan unik yang boleh diketengahkan.

“Saya dapati kawasan Jerantut ini amat berpotensi besar dan durian di sini kesedapannya lain macam dan mempunyai faktor ‘wow’ yang boleh diketengahkan.

“Mungkin kawasan tanah le­bih tinggi, jadi durian bukit antara faktor durian di sini sedap dan disebabkan cuaca dan tanah kemungkinan penyumbang rasa unik durian di sini,” katanya di sini semalam.

Jelas Rafaeh Rabiatun, Jabatan Pertanian juga dalam proses menyediakan direktori durian kampung di Jerantut bagi memudahkan orang ramai mencari durian yang diingini mereka.

Tambahnya, usaha juga sedang digiatkan bagi mendaftarkan lebih banyak durian kampung premium di daerah ini selepas kejayaan mendaftar durian emas atau DAF1 diikuti Damak King yang dijangka penghujung tahun ini.

Sementara itu Pakar Sains Tumbuhan Kulliyah Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Rozilawati Shahari berkata, kebanyakan kebun durian di sini diwarisi daripada ahli keluarga terdahulu dan mereka mengekalkan baka durian yang terdapat di kebun tersebut.

Katanya ada juga pokok yang tumbuh secara semulajadi di kebun mereka dan pokok pokok yang mempunyai kualiti buah yang baik inilah dikategorikan sebagai Durian kampung Premium (DKP).

Dalam pada itu ditanya me­ngenai kewujudan DPK di kawasan mukim Hulu Cheka dia berkata, kebanyakan pemilik kebun durian masih mengekalkan pokok asal yang ditanam oleh ahli keluarga mereka yang terdahulu tanpa menggantikannya dengan klon premium atau tanaman lain.

“Pokok-pokok ini ditanam menggunakan biji benih yang mana kebanyakan pokok yang ditanam tersebut telah menghasilkan buah berciri premium dan berkualiti tinggi, sebab itu ada di antara pokok durian di sini mencapai usia melebihi 50 tahun.

“Selain itu, mereka juga menyemai biji benih durian yang mereka rasakan berkualiti dan mempunyai gred yang baik dan setiap biji benih ini akan menghasilkan pelbagai jenis durian yang berbeza kerana ianya terhasil melalui proses pendebungaan secara kacukan silang,”katanya.

Ujarnya, walaupun buahnya boleh dimakan, tetapi spesies ini lebih popular sebagai pokok penanti yang mana baunya yang sedikit kuat dan kurang beraroma jika dibandingkan dengan durian biasa, menjadikan ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan penggemar durian.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 24 spesies durian atau bahasa saintifiknya durio yang ditemui di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN