fbpx
JENIRI memaklumkan, keharmonian kaum di Sabah dan Sarawak terbentuk hasil amalan toleransi yang tinggi. – Gambar hiasan

Menangani isu di sebalik Hari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun sebagai tanda pembentukan negara ini pada tahun 1963.

Pada tarikh tersebut, Sabah, Sarawak dan Singapura (sebelum keluar dari Malaysia pada 1965) bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia.

Justeru, Hari Malaysia cukup penting bagi meraikan perpaduan masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya.

Meskipun selepas 61 tahun Malaysia terbentuk, namun masih terdapat beberapa perkara yang menjadi pertikaian termasuk isu Perjanjian Malaysia (MA63).

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai pembentukan Malaysia, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI menemu bual mantan penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merangkap Felo Kanan di Majlis Profesor Negara, Prof. Madya Datuk Dr. Jeniri Amir baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Persekutuan Malaysia dibentuk pada 16 September 1963. Kini, selepas 61 tahun, bagaimana Datuk melihat ikatan dinamakan Malaysia ini?
JENIRI: Selepas 61 tahun pembentukan Malaysia, ikatan antara negeri-negeri dalam Persekutuan telah mengalami pasang surut. Pada asasnya, Malaysia dibina atas dasar perpaduan dalam kepelbagaian, merangkumi perbezaan wilayah, kaum, budaya dan agama.

Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa yang berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Walaupun terdapat usaha memperkukuh integrasi nasional, namun masih ada isu berkaitan autonomi, pembangunan tidak seimbang dan tuntutan hak terutama dari Sabah dan Sarawak.

Namun begitu, kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan, serta kemajuan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, tidak boleh dinafikan.

Sejak kebelakangan ini, Sabah dan Sarawak begitu agresif menuntut beberapa perkara dalam MA63 daripada kerajaan Pusat. Mengapakah Datuk melihat tuntutan ini penting untuk rakyat Sarawak dan Sabah?
Tuntutan Sabah dan Sarawak terhadap MA63 penting kerana ia melibatkan hak dan autonomi yang dijanjikan semasa pembentukan Malaysia. Ia termaktub dalam pelbagai dokumen.

Kedua-dua wilayah ini mempunyai kedudukan istimewa dalam Persekutuan yang membezakannya daripada negeri-negeri di Semenanjung.
Tuntutan ini berkisar kepada hak-hak berkaitan sumber minyak dan gas, keadilan dalam pembangunan infrastruktur serta autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Hal ini membabitkan isu 18/20 Perkara.

Bagi rakyat Sarawak dan Sabah, tuntutan ini penting kerana mereka berasakan ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negara serta pembangunan yang tidak seimbang berbanding dengan Semenanjung.

Memulihkan hak-hak MA63 dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan autonomi dan memastikan sumber asli negeri dapat dimanfaatkan bagi pembangunan tempatan.

Difahamkan, MA63 sudah dituntut sejak sekian lama. Apakah faktor-faktor yang menyukarkan tuntutan berkenaan sebelum ini?
Sebelum ini, tuntutan MA63 oleh Sabah dan Sarawak sering terhalang oleh beberapa faktor.

Pertama, dominasi politik di Semenanjung mengutamakan isu nasional yang sering kali mengabaikan kepentingan spesifik kedua-dua wilayah di Borneo. Kedua, kurangnya kesedaran dan pemahaman masyarakat di Semenanjung tentang perjanjian ini menyebabkan tuntutan tersebut tidak diberi perhatian serius.

Selain itu, kesukaran dalam mencapai konsensus politik dalaman telah melemahkan kekuatan tuntutan mereka. Kebergantungan ekonomi yang tinggi kepada kerajaan

Pusat juga menjadi halangan, kerana sebarang tuntutan berisiko mengurangkan dana pembangunan.

Faktor-faktor ini ditambah dengan krisis politik di Semenanjung yang memperlihatkan pentingnya autonomi yang lebih besar bagi memastikan hak dan pembangunan setempat dipertahankan. Lagi cepat isu berkaitan hak Sarawak dan MA63 diselesaikan, lagi bagus supaya kita dapat terus bergerak ke hadapan.

Sarawak sudah mula mengambil pendekatan berbeza dengan kerajaan Pusat seperti soal bahasa rasmi. Adakah langkah ini memperlihatkan Sarawak mula menentang dasar kebangsaan?
Langkah Sarawak yang mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama Bahasa Malaysia bukanlah satu bentuk penentangan terhadap dasar kebangsaan, tetapi lebih kepada usaha mempertahankan autonomi yang termaktub dalam MA63.

Sarawak mempunyai hak untuk menentukan beberapa dasar termasuk dalam aspek bahasa, pendidikan dan pembangunan ekonomi.
Pendekatan ini dilihat sebagai usaha memastikan Sarawak dapat bersaing di peringkat global.

Ada pihak yang mengatakan bahawa tuntutan asas MA63 dibuat kerana Sabah dan Sarawak berhasrat untuk keluar daripada Persekutuan Malaysia pada masa depan atau inginkan kuasa pemerintahan autonomi. Adakah dakwaan tersebut benar Datuk?
Dakwaan ini tidak benar. Ini dakwaan yang nakal dan berniat jahat. Tidak ada agenda sedemikian di pihak Sabah dan Sarawak.

Tuntutan-tuntutan tersebut adalah usaha untuk memulihkan hak-hak yang telah dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963, bukan untuk memisahkan diri.

Sabah dan Sarawak ingin memastikan pembangunan yang lebih adil dan seimbang dengan mengembalikan hak autonomi tertentu, seperti pembangunan seimbang, ekonomi dan sumber semula jadi. Ia adalah soal memperkukuh kedudukan dalam persekutuan, bukan menolaknya.

Kedua-dua wilayah ini tetap komited terhadap Malaysia dan mahu hak-hak yang termaktub dihormati demi kebaikan bersama. Saya percaya, Sabah dan Sarawak akan kekal dalam Malaysia selama-lamanya. Itulah sebabnya penting untuk kerajaan Persekutuan memberi layanan adil terutama dari segi peruntukan pembangunan serta berusaha memenuhi aspirasi para pengasas dan pejuang kemerdekaan.

Ingat, para pemimpin dan rakyat dari Sabah dan Sarawak telah diberi jaminan dan janji bahawa mereka akan maju seiring dengan kemajuan di Semenanjung. Selepas 61 tahun adakah semua itu tercapai?

Biarpun Sabah dan Sarawak sebahagian dari Malaysia, namun kita dapati pembangunan di kedua-dua negeri berkenaan jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung. Mengapakah jurang ini berlaku, adakah disebabkan dasar-dasar terdahulu?
Jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung merupakan isu kompleks yang berpunca daripada beberapa faktor, termasuk dasar-dasar terdahulu oleh kerajaan Persekutuan.

Semasa awal pembentukan Malaysia, keutamaan pembangunan lebih tertumpu di Semenanjung, terutamanya di kawasan-kawasan bandar.

Sabah dan Sarawak yang secara geografinya terpencil serta besar sering kali menghadapi cabaran dalam aspek pembangunan infrastruktur, akses kepada pendidikan, kesihatan, serta kemudahan asas. Memang menjadi satu cabaran untuk membangunkan Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kekurangan pelaburan dan perhatian yang konsisten terhadap pembangunan ekonomi serta sosial di Sabah dan Sarawak pada dekad-dekad lalu menyumbang kepada ketidakselarasan pembangunan ini. Fokus kepada usaha memerangi ancaman komunis pada 60-an dan 70-an juga menyebabkan berlakunya ketempangan pembangunan.

Banyak projek pembangunan yang tertangguh atau dilaksanakan secara tidak berkesan, sehingga menyebabkan kedua-dua negeri ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Tambahan pula, hasil sumber semula jadi seperti minyak serta gas yang banyak di Sabah dan Sarawak tidak memberikan pulangan setimpal kepada negeri tersebut, kerana perjanjian royalti yang kurang memihak kepadanya.

Malaysia terbentuk, namun kita dapati masih terdapat rasa skeptikal dalam kalangan masyarakat di Semenanjung terhadap komuniti di Sabah dan Sarawak. Mengapakah perkara sebegini masih berlaku dalam era dunia tanpa sempadan ketika ini?
Rasa skeptikal ini wujud berpunca daripada beberapa faktor.

Salah satunya adalah kurangnya pendedahan dan pemahaman mendalam rakyat di Semenanjung mengenai kepelbagaian kaum, sejarah, budaya serta keunikan Sabah dan Sarawak.

Hakikat bahawa lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak bekerja dan pernah berkunjung ke

Semenenanjung menyebabkan mereka lebih faham akan keadaan di Semenanjung, berbanding sebaliknya.

Pengaliran maklumat yang tidak seimbang antara ketiga-tiga wilayah itu juga menjadi penyebab utama.

Hakikatnya, media nasional mempunyai pengaruh yang besar suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan rakyat di Sabah dan Sarawak lebih faham Semenanjung.

Tidak banyak berita Sabah dan Sarawak disiarkan dalam media arus perdana sehingga berlakunya kesenjangan maklumat. Hal ini menimbulkan persepsi tertentu dalam kalangan rakyat.

Maksudnya, liputan media yang kurang menyeluruh hingga menyebabkan isu-isu penting di Sabah dan Sarawak tidak mendapat perhatian sewajarnya di Semenanjung.

Ketika pembentukan Malaysia pada 1963, banyak aspek mengenai Sabah dan Sarawak yang tidak difahami sepenuhnya oleh penduduk Semenanjung, dan jurang ini kekal hingga kini.

Perbezaan budaya, bahasa, agama, dan adat resam di Sabah dan Sarawak sering kali menimbulkan salah faham atau stereotaip negatif. Selain itu, jurang pembangunan dan perbezaan dari segi ekonomi turut menyumbang kepada rasa tidak seimbang ini.

Faktor geografi juga memainkan peranan. Walaupun teknologi komunikasi telah memudahkan hubungan antara wilayah, jarak yang jauh dan kos perjalanan tinggi sering kali menghalang interaksi lebih kerap antara masyarakat.

Untuk mengatasi skeptikal ini, usaha pendidikan dan mobiliti horizontal dalam kalangan rakyat perlu ditingkatkan.

Program yang memperkukuh pemahaman dan penghargaan terhadap keunikan Sabah dan Sarawak dalam kalangan masyarakat Semenanjung boleh merapatkan jurang tersebut.

Satu perkara yang dicemburui oleh masyarakat Semenanjung dengan komuniti di Sabah dan Sarawak adalah keharmonian kaum. Sentimen perkauman di kedua-dua negeri tersebut tidak terlalu menebal. Apakah faktor-faktor yang mewujudkan situasi harmoni ini yang boleh diguna pakai di Semenanjung?
Keharmonian kaum di Sabah dan Sarawak berpunca daripada amalan toleransi yang tinggi, perkahwinan campur meluas antara etnik dan kehidupan harmoni masyarakat sejak zaman dahulu.

Kepelbagaian budaya diterima sebagai kekuatan, bukan ancaman. Faktor geografi yang menyatukan komuniti di kawasan luar bandar juga mengukuhkan semangat kebersamaan.

Di samping itu, kepimpinan tempatan menggalakkan perpaduan dengan tidak menjadikan perkauman dan agama sebagai isu disensasikan.

Pendekatan ini boleh dicontohi di Semenanjung dengan mengutamakan keterangkuman, toleransi dan pemahaman antara kaum dan agama.

Isu agama dan kaum tidak harus dieksploitasi untuk kepentingan peribadi serta politik jangka pendek yang dapat merugikan rakyat dan negara. Tiada untungnya memanipulasi isu berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN