SAAT bertemu mata dalam satu program pelancaran outlet restoran makanan halal di ibu kota sekitar dua minggu lalu, mata audiens tertancap kepada sosok pengacara wanita yang begitu bertenaga mengemudikan majlis.
Tatkala dia memperkenalkan diri dan memberitahu nama penuhnya Melisha Lin, penulis cepat-cepat mengambil telefon pintar seraya membuat pencarian di Google.
Bisik hati penulis, ‘patutlah macam kenal dan ‘familiar’, rupanya Miss Grand Malaysia 2024’ yang baru dimahkotakan beberapa hari sebelum itu.
Menunjukkan prestasi terbaik sepanjang pencarian Miss Grand Malaysia 2024 membuatkan wanita cantik tinggi lampai ini layak dinobatkan sebagai juara.
Hasil kemenangan menundukkan 11 peserta lain, gadis berketinggian 177 sentimeter kelahiran Sri Petaling, Kuala Lumpur ini berjaya membawa pulang RM12,000 pada malam kemuncak.
“Saya amat bersyukur dan sampai sekarang rasa macam tidak percaya selepas dinobatkan sebagai Miss Grand Malaysia 2024.
“Pengiktirafan ini menggembirakan saya setelah melalui pelbagai cabaran serta tugasan sejak ia bermula sampailah ke titik akhir,” katanya kepada Aura.
Bagaimanapun, Melisha sebenarnya bukanlah satu nama asing dalam pertandingan ratu cantik berprestij kerana pernah mewakili Malaysia di Miss Supranational 2022 di Poland dan berjaya menempatkan diri dalam top 24.
Melisha dimahkotakan Miss Supranational Malaysia 2022 yang mana tahun sebelumnya dipegang aktres, Sanjna Suri.
Menyorot latar dirinya, Melisha, 26, merupakan graduan dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pemasaran dari University of Greenwich, London.
Dia pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta dalam bidang pemasaran dan jualan sebelum aktif menjadi pengacara sambilan.

“Selepas tamat pengajian, saya bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat percetakan selama beberapa tahun. Tidak sekadar bekerja sepenuh masa, saya juga menjadi pengacara sambilan untuk menambah ilmu dan lebih kenal dengan dunia luar terutama bidang hiburan dan seni.
“Justeru, bermula dari situlah saya mula mengenali apa itu dunia ratu cantik dan peragaan.
“Lebih menarik, titik tolak saya ‘terjun’ dalam dunia ratu cantik selepas saya diberi peluang menjadi pengacara program Miss Grand Malaysia selama dua tahun berturut-turut sebelum ini,” katanya yang juga pernah meraih anugerah Most Promising Emcee of The Year 2023 selain TEDX Speaker 2021.
Melisha berkata, semangatnya untuk membawa nama Malaysia di pentas ratu cantik antarabangsa juga adalah seiring kecintaannya yang tinggi kepada negara.
Anak berdarah campur India dan Cina ini mengakui dirinya sememangnya seorang yang berjiwa Malaysia.
“Bapa saya India, manakala ibu saya Cina. Saya bersekolah di sekolah kebangsaan dari sekolah rendah sampai menengah, jadi saya agak fasih berbahasa Melayu, bahkan pertama kali saya menjadi hos juga bagi program Jom Heboh TV3.
“Kawan-kawan saya dan rakan-rakan sekerja kebanyakan Melayu. Dari dulu saya sangat meminati budaya serta makanan Melayu, apatah lagi datuk sebelah ayah saya Muslim dan saya pernah menghantarnya ke masjid atau menunggunya solat kerana dia mempunyai masalah kaki serta bergantung kepada kerusi roda.
“Saya memang cintakan Malaysia. Pernah saya ditawarkan untuk berhijrah ke Singapura, India dan Eropah tetapi saya masih di sini disebabkan keluarga saya dan cinta saya kepada negara. Saya mahu terus meniti usia di Malaysia tercinta,” ungkapnya.
Melisha berkata, penglibatannya dalam bidang pengacaraan juga membantunya untuk berjaya dalam ratu cantik kerana ratu cantik turut menitikberatkan minda dan kebijaksanaan dalam menjawab soalan.
“Dalam ratu cantik, minda komponen yang membuatkan seseorang itu menonjol memandangkan semua peserta adalah cantik. Hanya mindalah yang boleh membezakan,” tuturnya.
Berpengalaman mewakili Malaysia dalam Miss Supranational sebelum ini, Melisha mengakui ia membuatkan persiapan ke Miss Grand lebih mudah.
“Ia memberikan saya ilmu tentang apa strategi untuk mara atau menyerlah dalam pertandingan. Keyakinan juga kian meningkat kerana semakin matang,” katanya.
Bercakap mengenai persediaannya mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Grand International 2024 di Thailand dan Kemboja Oktober depan, Melisha memberitahu semuanya dalam keadaan terkawal.
Pun begitu, pelbagai cabaran dan halangan terpaksa dilaluinya dalam waktu singkat itu termasuk dari segi mental dan fizikal.
Ujarnya, bergelar ratu cantik bukanlah semudah yang disangka kerana ramai tidak tahu bahawa mereka perlu bijak mengawal segala perihal dari sekecil hinggalah sebesar perkara.
“Buat masa sekarang, boleh dikatakan sudah siap dalam 80 peratus dan bakinya cuma tinggal perihal berkaitan busana yang masih belum diambil dan perkara kecil lain.
“Saya akan bertolak ke Bangkok pada 29 September ini dan memulakan saingan pada 3 Oktober bersama lebih 70 Miss Grand dari pelbagai negara.
“Masa saya juga agak terhad kerana boleh dikatakan hampir setiap hari saya perlu menjalani pelbagai latihan. Boleh dikatakan saya tidak cukup rehat kerana tidak ada banyak masa yang tinggal. Masa untuk tidur hanya tiga hingga empat jam sahaja setiap hari,” katanya.
Ujar Melisha, pun begitu, harapannya cuma satu iaitu mahu rakyat Malaysia mendoakan kejayaannya di pentas gemilang itu.
Baginya, pertandingan ini adalah amanah buatnya untuk melakukan yang terbaik dalam mengharumkan nama negara.














