BENTONG – Penduduk di Felda Chemomoi di sini ingin masalah talian telekomunikasi diselesaikan segera kerana tidak mahu peristiwa hitam seorang pesakit asma meninggal dunia kerana gagal menghubungi petugas klinik kesihatan pada tengah malam berulang lagi.
Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia Felda Chemomoi, Mohd. Farid Abdul Rahman berkata, peristiwa itu masih menghantui penduduk meskipun ia telah setahun berlalu.
Katanya, kejadian itu berlaku apabila lelaki berusia dalam lingkungan 40-an datang ke klinik pada tengah malam akibat semput kronik ketika itu.
“Ahli keluarga mangsa tidak dapat menghubungi individu bertugas on call kerana tiada talian telekomunikasi dan akhirnya dia meninggal dunia sebelum sempat dirawat.
“Walaupun sudah setahun, kejadian itu masih menghantui penduduk di sini kerana sehingga kini talian komunikasi di kawasan klinik masih tiada,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Farid, ia merupakan keperluan mendesak kerana melibatkan nyawa dan keselamatan penduduk di sini.
Tambahnya, dia berharap isu itu mendapat perhatian segera pihak berkenaan agar masalah liputan telekomunikasi di situ dapat diselesaikan segera.
Sementara itu, Ketua Kampung Felda Chemomoi, Abd. Ghani Taib berkata, aduan telah dibuat kerana kawasan klinik menjadi tumpuan lebih 6,000 penduduk di Felda Chemomoi, Felda Kemasul, Agropolitan Chemomoi dan Kampung Chemomoi.
“Saya harap usaha menyediakan talian komunikasi ini dapat dipercepatkan kerana ia melibatkan kepentingan penduduk dan ia amat diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Abd. Ghani memberitahu pembinaan pusat dialisis di klinik itu hasil usaha Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bakal siap April tahun depan dan ia amat bermakna buat mereka yang memerlukan rawatan tersebut.
“Penduduk sudah tidak perlu ke pekan Bentong untuk dialisis. Pusat itu bakal ada 10 mesin untuk manfaat pesakit,” katanya.
Johari maut dalam tragedi Elmina apabila pesawat yang dinaiki bersama tujuh individu terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos 2023.














