fbpx
Di sebalik kemusnahan dan penderitaan, Medo sentiasa menunjukkan sisi semangat positif anak muda Palestin yang meneruskan kehidupan dalam khemah serba kekurangan pada video-video dikongsikannya.

Medo Halimy pemuda Palestin berjiwa positif hingga akhir hayat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA mendengar berita kematian pemuda Palestin, Medo Halimy, 19, air mata seorang pengguna TikTok, Asma’ mengalir laju kerana tidak menyangka lelaki itu akhirnya terbunuh selepas tubuhnya terkena serpihan peluru dalam satu serangan udara Israel ke atas bandar selatan Gaza, Khan Younis pada 27 Ogos lalu.

“Sedihnya hati ini kerana saya salah seorang penonton setia semua kandungan TikTok dimuat naik Medo.

“Kini, tiada lagi paparan video Medo yang boleh dilihat, semoga syurga buatmu,” demikian komen yang ditulis Asma’ pada salah satu video Medo.

Kematian Medo cukup memberi kesan kepada orang ramai dari seluruh dunia kerana di kala kehidupan penduduk Palestin penuh dengan ketidakpastian serta keperitan, Medo menggunakan platform TikTok miliknya iaitu @medohalimy untuk memaparkan bagaimana dia dan rakan-rakan meneruskan kehidupan, biarpun terpaksa tinggal di dalam khemah serba kekurangan.

Kandungan yang dimuat naik Medo juga membantu meluaskan liputan di Gaza memandangkan akses wartawan telah dihadkan oleh tentera Israel.

“Saya mahu menunjukkan bahawa rakyat Palestin mampu bertahan.

“Kami akan terus hidup walau apa pun yang berlaku, kami tidak boleh dikalahkan,” katanya.

Medo merupakan pencipta kandungan di media sosial dan namanya mulai dikenali sekitar Mei lalu.

Video bagaimana dia, ahli keluarga dan rakan-rakannya meneruskan kehidupan biarpun terpaksa tinggal di dalam khemah meraih jutaan tontonan.

“Jika anda tertanya-tanya bagaimana kami menjalani kehidupan tinggal di dalam khemah, saya akan tunjukkan kepada anda,” demikian kata Medo dalam hampir setiap videonya.

Dia juga berkongsi bagaimana penduduk Gaza berpindah dari satu tempat ke satu tempat termasuk dengan menggunakan keldai atau berjalan kaki. Dia menunjukkan bagaimana penduduk Gaza mendapatkan air minuman dengan melalui perjalanan yang agak jauh dengan berjalan kaki serta mandi dengan mencedok menggunakan balang bekas makanan atau berenang di laut.

MEDO sering berkongsi dengan masyarakat dunia tentang kehidupan penduduk Gaza di media sosialnya.

Medo sering berkongsi aktiviti hariannya bermula dengan membasuh pakaian di waktu pagi, memasak, mengecas peranti elektronik miliknya untuk terus memuat naik video sehinggalah menghabiskan masa melihat matahari terbenam.

Dalam salah satu video, dia menunjukkan mereka mendirikan satu khemah santai untuk anak muda bermain permainan papan Monopoly biarpun permainan mereka adakalanya dikejutkan dengan serangan udara tentera Israel melintasi mereka.

Dia juga menunjukkan usahanya bercucuk tanam sayuran atau buahan dengan tema ‘bercucuk tanam setiap hari sehingga perang ini berakhir’. Dia menunjukkan dirinya membeli tembikai murah di pasar, membelah dan mengambil dua bijian dan menanamnya di tepian khemah selain menanam pokok yang lain.

Kongsinya, ada hari yang mereka kehabisan bekalan air bersih menyebabkan dia perlu beratur panjang mendapatkan bekalan air di satu tempat. Jika cuaca terlalu panas, dia akan membasahkan topinya dan dipakai di kepala.

Biarpun amat penat mendapatkan air, pulang saja ke rumah dia terus memasak makan tengah hari. Kemudian, selepas makan, dia bersiar-siar bersama rakan-rakan.

Sesekali dia membalas komen-komen pengikutnya, yang memuji tindakannya yang bukan sahaja bertahan hidup, malah dia benar-benar cuba untuk memberi makna kepada kehidupannya dengan terus melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama rakan-rakan.

“Sejujurnya, apa yang saya bimbangkan adalah peperangan ini akan berlanjutan lebih lama lagi.

“Kehidupan kami sebenarnya sudah berakhir sejak setahun yang lalu dan kami tidak mahu ia terus berakhir,” tulis Medo dalam ruangan komen.

Dia bagaimanapun terbunuh hanya beberapa jam selepas memuat naik video terakhirnya selepas cedera parah.

Medo dan rakan baiknya, Talal Murad, 18, sedang berada di sebuah kafe di Jalan Al-Rashid apabila serpihan peluru dari serangan udara Israel berhampiran mereka terkena kedua-dua mangsa. Talal mengalami cedera ringan, namun Medo disahkan meninggal dunia.

Cukup terkesan dengan kematian sahabat baiknya, Talal memberitahu dia amat merindui Medo.

“Kami melakukan semuanya bersama-sama. Kami menangis, ketawa, berjalan selama berjam-jam lamanya, mengusahakan perniagaan, semuanya bersama-sama, namun sedihnya kerana kami tidak mati bersama.

“Dia (Medo) telah meninggal dunia dan saya akan merinduinya,” kata Talal.

Lebih menyedihkan, dalam video terakhir yang dimuat naik Medo, dia turut berkongsi tentang satu rekaan yang sedang disiapkannya membabitkan sebuah ‘projek’ rahsia.

Ini menunjukkan biarpun di tengah-tengah peperangan yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, anak muda itu masih berusaha menghidupkan mimpi dan cita-citanya.

Selepas mengumpul lebih 290,000 pengikut di TikTok, Medo melancarkan kempen GoFundMe, bertujuan untuk meraih dana.

Dia yang sebelum ini pernah bersekolah di Sekolah Menengah Harker Heights, Texas, Amerika Syarikat (AS) juga menyimpan hasrat untuk kembali ke AS bagi menyambung pengajiannya dalam bidang psikologi kerana bercita-cita menjadi ahli psikiatri.

Bagitupun, pengeboman berterusan oleh Israel di wilayah Gaza sejak 7 Oktober lalu telah memaksa Medo tinggal di khemah pelarian berhampiran sempadan Mesir sambil cuba mengumpul wang untuk keluar dari situ.

Bapa Medo, Adi Al-Halimy dalam satu temu bual bersama CBC News memberitahu anak lelakinya itu sentiasa istimewa di hatinya.

“Dia membuat satu dunia turut merasakan penderitaan penduduk Gaza yang terpaksa tinggal di dalam khemah,” katanya.

Adik lelaki Medo, Zaid Al-Halimy pula menyifatkan arwah abangnya sebagai seorang yang sangat positif.

“Dia sentiasa positif dan amat menghargai kehidupan. Kami akan terus berusaha untuk menghidupkan mimpi Medo dan menyebarkan mesej-mesej yang ingin disampaikannya kepada dunia,” kata Zaid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN