ALOR GAJAH – Kematian bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri akibat dibedung, disumbat botol susu dan ditekup bantal di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) Jumaat lalu turut berlaku melibatkan bayi perempuan berusia enam bulan dua tahu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, kejadian malang itu menimpa Haura Najia Mohd. Kamaruddin Helsa di sebuah taska di negeri ini pada 27 Oktober 2022.
Katanya, Haura bagaimanapun meninggal dunia ketika dirawat di hospital selama dua hari selepas ditemui tidak sedarkan diri akibat dibedung kira-kira enam jam dan disumbatkan botol susu dalam keadaan mengiring.
“Kes Al Fateh ini sama dengan kes dua tahun lalu, ada kepincangan yang berlaku di setiap taska (terlibat) ini macam melepaskan batok di tangga dan adakah mereka (pengasuh) peka akan perbuatan salah itu?.
“Maknanya paling senang nak jaga, bedung bayi kemudian bagi susu dengan harapan bayi tak bergerak dan tidur sedangkan cara penjagaan begitu salah dan ini sudah kes kedua terjadi dengan cara kematian itu sama puncanya,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut beliau berkata, susulan dua kes kematian melibatkan kaedah asuhan yang salah, pihaknya akan memanggil semua penguasaha taska dalam masa terdekat untuk memberikan latihan intensif penjagaan.
“Kita akan panggil dan setiap pengasuh mereka akan diberikan latihan serta advokasi walaupun sebelum ini memang sudah ada garis panduan ditetapkan JKM yang perlu dipatuhi pengasuh.
“Kita akan banteras habis-habisan kerana saya tak mahu lagi ada kes ketiga dan seterusnya dengan modus operandi sama nak bagi budak senyap senang dijaga pengasuh bedung dan sumbat dengan botol susu,” tegasnya lagi.
Terdahulu, kejadian menimpa Haura turut tular di laman sosial pada 2022 apabila ibunya, Nurul Fateha Sandollah meluahkan rasa kecewa dengan pihak pengurusan taska yang sanggup membiarkan bayinya dalam keadaan dibedung selama enam jam.
“27 Oktober 2022 jam 4.29 petang menerima pAnggilan daripada taska mengatakan Haura tidak sedarkan diri, saya segera ke taska dan dimaklumkan mereka telah bawa ke klinik berdekatan, dlm beberapa saat dimaklumkan bayi saya dibawa ke Hospital Melaka.
“Doktor memaklumkan haura datang (dihantar) dengan tiada nadi dan dalam tempoh 24 minit CPR diberikan nadi ada semula namun terlalu lemah. Haura di intubasi dan menggunakan sepenuhnya mesin bantuan pernafasan,” tulisnya.
Katanya lagi, suaminya telah berjumpa dengan pengasuh di taska dan dimaklumkan Haura telah dibedung penuh dan diberikan susu sebelum dibiarkan dalam keadaan mengiring. – KOSMO! ONLINE