IPOH – Polis Perak akan memohon bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan wanita warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat bayi yang tertanam di bawah lantai simen di Taman Sri Rokam, bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, permohonan mendapatkan bantuan agensi berkenaan akan dibuat sekiranya suspek didapati telah kembali ke negara asal.
“Kita sedang mengesan suspek, setakat ini, kita masih belum boleh membuat pengesahan sama ada dia masih berada di negara ini atau telah pulang ke negara asal.
“Jika dia telah kembali ke negara asal, maka kita akan minta bantuan Jabatan Imigresen selain menggunakan saluran diplomatik melalui Interpol bagi mengesan suspek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Media pada 28 Ogos lalu melaporkan penemuan mayat bayi perempuan oleh penyewa iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun ketika melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sekitar pukul 11 pagi.
Ketika kejadian, lelaki itu dikatakan sedang mengorek simen di hadapan ruang tempat letak kereta di pekarangan rumah sebelum menjumpai cebisan kain sarung yang tertanam dalam tanah.
Lelaki terbabit kemudiannya menarik kain itu dan terkejut apabila menjumpai mayat kecil seperti bayi di sebalik kain berkenaan.
Berikutan itu, polis merakam percakapan empat individu bagi membantu siasatan termasuk pengadu dan pemilik rumah. – KOSMO! ONLINE