PETALING JAYA – Pengalaman bekerja adalah ‘universiti’ terbaik bagi seseorang usahawan untuk membina semangat, motivasi dan keyakinan diri serta pengetahuan untuk membina empayar perniagaannya bagi berdepan dengan pelbagai rintangan masa depan.
Tempoh 10 tahun berkhidmat dalam sebuah agensi pelancongan tempatan membuatkan Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel and Tours (Nuh Travel), Abdul Halim Aliumar cukup matang untuk melepaskan jawatan sebagai Pengurus Perkhidmatan Korporat dan nekad membuka perniagaan baharunya dengan bermodalkan RM300,000.
“Di fasa awal perniagaan saya perlu membina kekuatan untuk mencari pelanggan baharu tetapi saya rasa bersyukur kerana pelanggan lama di syarikat sebelum ini begitu setia menyokong saya sekali gus melanggan perkhidmatan yang kami tawarkan.
“Bermula di situ, kepercayaan dan keyakinan pelanggan telah membolehkan ia menjadi promosi dari mulut ke mulut untuk menarik lebih ramai pelanggan mendapatkan khidmat syarikat kami,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian antara Nuh Travel dengan Saudi, Emirates dan Dubai Tourism di sini baru-baru ini.
Abdul Halim, 36, berkata, pada fasa awalnya, perkhidmatan Nuh Travel lebih kepada mengukuhkan jenamanya dengan menawarkan pelbagai pakej umrah dan pelancongan yang menarik untuk menarik pelanggan baharu sekali gus mahu menjadikan mereka setia kepada jenama syarikatnya.
“Perniagaan kami yang bermula pada tahun 2018 lebih memfokuskan pada pelancongan muslim yang mana peringkat awalnya kami menawarkan pakej penerbangan ke Turkiye.
“Kami juga terkenal dalam industri ini dengan menawarkan pakej-pakej ke negara Eropah seperti London, Eastern Europe dan Paris.
“Pada tahun ini kami membawakan kelainan dalam perkhidmatan yang ditawarkan dengan memperkenalkan pakej baharu iaitu Umrah Imani yang membolehkan pelanggan beribadah sambil berziarah dengan tawaran harga yang berpatutan.
“Umrah Imani merangkumi pakej umrah sambil ziarah yang dikhaskan untuk mereka yang ingin mengerjakan umrah sambil bercuti, sekali gus menjimatkan kos,” jelas Abdul Halim.
Antara pakej Umrah Sambil Ziarah yang ditawarkan adalah Umrah Ziarah Europe iaitu London dan Paris, Umrah Ziarah Switzerland, Umrah Ziarah Turki, Umrah Ziarah Dubai, dan Umrah Ziarah enam kota.
Usahawan yang bermotivasi tinggi itu turut menjelaskan, dalam mengendalikan sesebuah perniagaan, perkhidmatan yang ditawarkan dan suara pelanggan sewajarnya perlu dititikberatkan bagi memperbaiki kekurangan syarikat mengikut permintaan semasa dan seiring dengan kemampuan organisasi.
“Tak mencabar jika tidak menghadapi pelbagai rintangan dalam perniagaan,” katanya.
Pengasas muda itu menjelaskan, tidak ada perniagaan yang tidak diuji, sama ada ia adalah yang bersaiz kecil atau berskala besar kerana pastinya mereka mempunyai masa sukar yang pernah dihadapi sepanjang niaga.
“Bagi syarikat kami, pertukaran kadar mata wang sememangnya menjadi cabaran utama dalam mengendalikan perniagaan kerana kami merupakan perniagaan yang melaksanakan transaksi wang ke luar negara, bermakna kami perlu mengeluarkan jumlah wang yang lebih besar sekiranya pertukaran nilai mata wang semakin menurun.
“Selain itu, kami juga tidak hanya bersaing dengan agensi-agensi terkemuka di luar sana, tetapi turut bersaing dengan ejen-ejen pelancongan yang tidak berdaftar, seterusnya menyukarkan kami terutamanya persaingan dari segi harga.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, dirinya sangat bersyukur kerana syarikat berjaya mengharungi cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan tenang dan terkawal, seterusnya mendorong kepada kejayaan mereka hari ini.
Lebih menarik, syarikat penerbangan Muslim ini telah berjaya memperoleh tiga anugerah cemerlang iaitu Best Outbond Packages daripada Tourism Malaysia 2022, Anugerah Best Travel Agent ke Eropah pada 2023, dan juga Anugerah Best Muslim Travel Agent pada tahun ini.
Sementara itu, Nuh Travel turut bekerjasama dengan Saudi, Saudi Tourism Authority, Emirates dan Dubai Tourism yang bertujuan untuk membangunkan produk umrah dan pelancongan muslim yang kompetitif untuk rakyat tempatan.
etua Pegawai Operasi Nuh Travel and Tours, Mohammad Adam Jalalel Din berkata, kerjasama tersebut adalah inisiatif syarikat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka, sambil menawarkan produk pelancongan dan umrah ziarah yang lebih kompetitif dan sesuai dengan semua lapisan masyarakat.
“Syarikat kami juga komited untuk menawarkan lebih banyak pakej yang memfokuskan untuk beribadah dan ziarah pada masa yang akan datang.
“Diharapkan, melalui kerjasama jangka panjang ini, syarikat kami dapat terus berkembang maju seiring dengan agensi-agensi pelancongan lain,”ujarnya.
Sepanjang tujuh tahun beroperasi sehingga kini, Nuh Travel juga telah berjaya menerbangkan lebih 5,000 pelanggan merangkumi pelbagai destinasi dan telah membawa 2,000 orang setakat separuh tahun 2024 ini.
Syarikat itu menyasarkan untuk membawa 6,000 penumpang yang merangkumi pakej sedia ada dan pakej Umrah Imani menjelang tahun 2025. -KOSMO! ONLINE