RAKAN Alif mendakwa, cincin kepunyaannya memiliki khadam dan dia sering dihantui pelbagai kejadian aneh. – Ilustrasi SHAH HASSAN

Hidup sengsara diganggu ‘khadam’ cincin antik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOBI mengumpul barang-barang antik atau pelik tidak boleh dilakukan sesuka hati tanpa mengetahui asal usul kewujudannya.

Tambahan pula, ia melibatkan koleksi barang antik yang berusia ratusan tahun.

Kisah Mitos kali ini diceritakan oleh seorang peminat barang antik dikenali sebagai Alif Abdullah, 60, dari Kapar, Selangor yang memiliki cincin batu serai didakwa memiliki khadam.

Satu peristiwa menyeramkan berlaku 10 tahun lalu dan ia masih diingatinya.

“Sememangnya minat saya mengumpul barang-barang antik dari seluruh dunia diketahui oleh rakan-rakan.

“Suatu hari, sahabat saya iaitu seorang lelaki bukan Islam menghubungi saya dalam keadaan cemas. Katanya, dia ada ‘barang’ untuk diberi kepada saya,” katanya.

Kata Alif, kebiasaannya, sahabatnya akan bercakap dalam nada gelak ketawa, namun kali ini suaranya jelas gementar.

“Kawan saya ingin bertemu dengan saya pada sebelah malam iaitu pada pukul 10 di sebuah restoran mamak.

“Semasa dia tiba di restoran tersebut, saya tengok wajahnya cengkung dan tubuhnya yang berisi nampak susut seolah-olah menghidap penyakit kronik,” katanya.

Selepas bertanya khabar, Alif berkata, sahabatnya mengeluarkan sebentuk cincin yang bertatahkan batu kuning cantik dan bergemerlapan.

“Kawan saya terus bercerita tentang cincin tersebut dengan wajah cemas. Katanya, kau ambillah cincin berharga RM2,000 ini secara percuma.

“Dia kata cincin itu mempunyai khadam yang menjaganya. Khadam itu seakan tidak rela kawan saya menjadi pemilik cincin tersebut,” katanya.

Jelas Alif lagi, sahabatnya membeli cincin itu daripada seorang penjual cincin di sebuah negara jiran.

Cerita Alif, sahabatnya sering diganggu pelbagai jenis makhluk pelik di mana sahaja dia pergi.

“Disebabkan itu, rakan saya menyimpan cincin tersebut di dalam bekas khas. Kemudian, dia bertemu dengan seorang pengamal perubatan alternatif untuk mencari penyelesaian kepada masalahnya.

“Pengamal perubatan itu mencadangkan kepada sahabat saya untuk menghadiahkan cincin tersebut kepada seseorang yang beragama Islam dan itu menjadi asbab dia menghubungi saya,” katanya.

Alif yang sudah 10 tahun memakai cincin cantik tersebut berkata, ramai yang menawarkan harga tinggi untuk membeli cincin itu daripadanya.

Namun kata Alif, dia amat menyayangi cincin tersebut dan tidak akan sesekali menjualnya.

“Sebenarnya, saya bimbang jika pemilik baharu cincin tersebut turut diganggu seperti yang dialami pemilik asal.

“Walaupun saya tidak diganggu (mungkin kerana serasi), sebenarnya tahun pertama selepas saya dihadiahkan cincin tersebut, sahabat dan isteri saya yang mendapat bahana,” katanya.

Mengulas lanjut, Alif memberitahu, seorang kawan yang menumpang tidur di rumahnya diganggu lembaga hitam dan besar di ruang tamu.

Tambah Alif, kawannya itu merupakan orang bukan Islam yang telah bersahabat sejak dari kecil.

“Sebelum itu, kawan saya ada cuba cincin tersebut semasa kami berbual. Kasihan dia, diganggu bukan setakat nampak, malah ditindih hingga lemas.

“Kawan saya berkata, dia menjerit hingga perit tekak, tapi saya seakan tidak dengar. Nasib baik saya keluar bilik untuk minum air apabila saya lihat dia meronta-ronta seperti dicekik,” katanya.

Rentetan kejadian itu, dia kini berhati-hati untuk berkongsi setiap barang antik yang dimilikinya. Ujar Alif, setiap perkara yang berlaku membuktikan kewujudan makhluk ghaib atau jin yang tidak dapat dilihat.

“Pernah ada yang menawarkan sehingga dua kali ganda iaitu RM4,000 untuk saya serahkan cincin tersebut. Saya beritahu kisah seram di sebalik keindahan cincin dan mereka membatalkan niat memilikinya,” katanya.

Ujar Alif lagi, duit yang dimiliki untuk membeli cincin mahal tersebut harus digunakan untuk melakukan perkara kebajikan seperti membantu asnaf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN