GEORGE TOWN – Rata-rata kontraktor mengakui agak terbeban selepas mendapati harga bahan pembinaan naik mendadak sehingga 25 peratus sejak sebulan lalu hingga memaksa mereka menampung sendiri kos baharu itu dengan pendapatan yang diperoleh.
Mereka mendakwa, antara bahan yang mengalami kenaikan ketara termasuk pasir, besi, bumbung, simen, bata dan kayu.
Seorang kontraktor, Roslan Sahid berkata, kenaikan harga itu dikatakan berlaku serentak dengan penyasaran semula diesel pada Jun lalu.
Katanya, kenaikan itu memberi kesan kepada kontraktor pengubahsuaian rumah dan bangunan.
“Impak terlalu besar buat kontraktor khususnya mengenai urusan sebut harga yang terlebih dahulu dikemukakan kepada pelanggan.
“Kita takut hendak beri sebut harga kerana bimbang pelanggan terkejut dengan kos baharu itu. Kalau rumah biasa kami boleh bincang lagi, tetapi bila melibatkan projek bangunan agensi tertentu di mana sebut harga diberi sebelum kenaikan diesel, kami terpaksa teruskan walaupun perlu tanggung kos baharu,” katanya.
Menurut Roslan, keuntungan 20 peratus terpaksa digunakan untuk tampung kos beli bahan binaan sama tetapi dengan harga berbeza.
Tambahnya, kenaikan itu dijangka memberi kesan kepada nilai pasaran bagi kediaman baharu.
“Jika sebelum ini harga bagi ubah suai garaj atau pekarangan rumah sekitar RM20,000 tetapi sekarang sudah cecah RM25,000. Kami terpaksa guna harga baharu selepas ini,” katanya.
Di Kota Bharu, pesara guru, Zaharuddin Ismail, 59, berkata, dia terpaksa menambah peruntukan susulan kenaikan itu.
“Ketika ini saya sedang bina dua rumah berkembar untuk dijual dan sudah siap 60 peratus. Saya perlu tambah RM50,000 lagi menjadikan kos keseluruhan meningkat kepada RM350,000,” katanya ditemui Kosmo! Ahad di Kampung Padang Kala, Peringat di sini.
Ujar Zaharuddin, dia terpaksa meneruskan pembinaan sehingga siap walaupun harga bahan binaan naik.
“Saya terpaksa menaikkan jualan rumah itu jika tidak mahu menganggung kerugian yang banyak.
“Saya percaya rumah yang dibuat sendiri oleh orang kampung atau kontraktor persendirian susah untuk dijual kerana harganya meningkat. Jika tiada kawalan, pasti banyak rumah yang tidak laku,” ujarnya.














