INSIDEN kepala air ‘membaham’ dua tapak perkhemahan di lokasi berasingan yang berlaku selang sehari, baru-baru ini sebagai amaran untuk orang ramai jangan ambil mudah risiko beriadah ketika musim hujan.
Biar selalunya tapak perkhemahan tebing sungai dibina di aras tinggi, sebarang kemungkinan boleh terjadi berikutan pelbagai faktor sampingan terutama ketika hujan lebat berterusan.
Melihat situasi sekarang yang menyaksikan taburan hujan tinggi ekoran fenomena La Nina bermula Julai sehingga Oktober ini, risiko air naik dan tanah runtuh boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa sebarang petanda awal.
Lihat sahaja kejadian kepala air yang berlaku di Ulu Rening, Batang Kali pada 23 Ogos lalu apabila 38 mangsa terperangkap sebelum diselamatkan bomba.
Sememangnya kawasan tersebut terkenal dengan keindahan jaringan sungai yang membuatkan ia menjadi tumpuan ramai untuk berkelah serta berkhemah.
Atau barangkali ada yang terlupa, pada Disember 2022 berlaku tragedi berdarah membabitkan tanah runtuh yang mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa berhampiran kawasan tersebut.
Andai disenaraikan kejadian kepala air ketika musim hujan dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, sudah pasti ramai takut hatta untuk sekadar bermandi-manda di sungai.
Bukan tidak boleh melakukan aktiviti riadah di lokasi semula jadi seperti itu, tetapi hasrat berkenaan perlu dipertimbangkan dengan melihat dulu musim tertentu.
Mungkin insiden di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim, Slim River sehari selepas kejadian di Batang Kali lebih memberikan impak apabila lebih 100 mangsa terperangkap termasuk penduduk di dua kampung dan pengunjung di satu lagi tapak perkhemahan, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil.
Dalam kejadian pukul 7 malam itu, fenomena kepala air yang tercetus susulan hujan berterusan mengakibatkan Jambatan Lama Sungai Slim ke pusat rekreasi terkenal itu runtuh.
Difahamkan insiden berkenaan sebagai kes terpencil kerana kali terakhir air naik ke paras luar biasa di kawasan popular tersebut adalah pada tahun 80-an.
Kepala air yang turut menyebabkan sauk bagi Loji Rawatan Air Sungai Geliting pecah menghanyutkan khemah pengunjung. Walaupun kedua-dua insiden tersebut tidak mengorbankan nyawa, ia cukup untuk menjadi peringatan supaya seelok-eloknya jauhkan diri dan keluarga daripada sebarang risiko.
Atas faktor keselamatan pengunjung, pelbagai peringatan dikeluarkan agensi berkaitan demi memastikan kesempatan orang awam.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, orang ramai yang ingin beriadah di kawasan rekreasi air ketika ini dinasihatkan peka dengan perubahan cuaca bagi mengelak insiden tidak diingini.
“Kami menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perubahan cuaca dengan mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia).
“Diharap pengunjung juga tidak berada di kawasan tadahan air mengalir apabila cuaca buruk (hujan lebat) memandangkan paras air boleh meningkat dengan pantas,” katanya.














