fbpx
INFRASTRUKTUR pengecas EV di negara ini dilihat masih kurang. – Gambar hiasan

K2

Rasional subsidi minyak pengaruhi penggunaan EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RASIONALISASI subsidi minyak yang dirancang kerajaan bakal mencorakkan landskap tenaga dan dijangka mempercepatkan peralihan penerimaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan pengguna.

Dengan penarikan subsidi diesel dan bakal disusuli petrol tidak lama lagi, EV akan menjadi pilihan yang semakin menarik, sekali gus menyumbang kepada pengangkutan lestari dan inovasi.

Baru-baru ini, program rasionalisasi subsidi yang dijalankan menginjak naik harga runcit bagi diesel dari sekitar RM2.15 seliter dengan kenaikan hampir 40 peratus dengan menghampiri harga pasaran dunia.

Untuk minggu-minggu seterusnya, harga diesel bakal berubah mengikut trend pasaran harga minyak global.

Selain masalah besar penyeludupan bahan api keluar di sempadan yang menjadi motivasi besar program rasionalisasi ini, langkah berkenaan sangat penting bagi Malaysia.

Ini memandangkan kerajaan menanggung perbelanjaan subsidi berbilion ringgit setiap tahun untuk memastikan harga runcit diesel dalam negara kekal rendah.

Peningkatan harga runcit diesel dan khabarnya diikuti petrol tidak lama lagi dijangka menyediakan persekitaran lebih menarik terhadap ekosistem mobiliti elektrik.

Memandangkan Malaysia bakal meneraju rantau ini sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun depan, adalah wajar bagi negara untuk mendemonstrasikan kepimpinan dengan menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelan berkenaan baru saja diperkenalkan dan termasuk dalam inisiatif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Pada awal tahun ini pula, penyelarasan semula tarif elektrik telah menyaksikan kenaikan bagi pengguna dengan penggunaan melebihi 600 kilowatt jam (kWj) sebulan.

Jumlah pengguna kategori ini yang menghampiri 1.2 juta isi rumah telah menyaksikan kenaikan bil elektrik sekitar empat hingga enam peratus.

LANGKAH kerajaan merasionalkan subsidi diesel dan bakal disusuli petrol tidak lama lagi akan meningkatkan permintaan terhadap EV. – Gambar hiasan

Persoalan kritikal pada masa ini adalah sama ada pengguna di Malaysia telah bersedia untuk beralih kepada menggunakan EV?

Di sebalik pelbagai cabaran ekonomi, pengguna sewajarnya tidak hanya mengambil kira faktor harga bahan api runcit dan tarif elektrik sebagai penanda aras.

Sebaliknya, mereka perlu memikirkan faktor penting lain seperti harga pembelian EV dan keselamatannya.

Kos keseluruhan pemilikan EV turut merangkumi pelbagai elemen seperti harga belian, servis, insurans dan pengecasan.

Secara keseluruhan, semua ini memerlukan komitmen kewangan yang signifikan berkadaran atau menyaingi pemilikan kenderaan bahan api konvensional.

Walaupun transisi laju industri automotif global ke arah mobiliti elektrik menjanjikan penurunan kos pemilikan dan servis, namun manfaat ini sering dikaburi seperti bayaran muka EV lebih tinggi dan kos penukaran bateri yang besar.

Aspek keselamatan turut memainkan peranan penting lebih-lebih lagi berkenaan saiz bateri besar yang digunakan EV.

Sebarang kemalangan yang melibatkan impak besar akan meningkatkan risiko bayaran perlindungan insurans dan penggantian bateri.

Apa yang positifnya, EV memberikan manfaat lebih dari sudut penyelenggaraan kerana bahagian mekanikal yang kurang berbanding kenderaan konvensional.

Tiada lagi keperluan untuk penukaran kerap minyak enjin, palam pencucuh dan tali sawat pemasaan, sekali gus mengurangkan masa servis serta kos keseluruhan EV.

Walaupun penukaran bateri diperlukan, namun ia tidak kerap dan bukan dalam beberapa tahun awal penggunaan EV tersebut.

Di samping itu, pemilik EV di Malaysia akan menikmati pengecualian cukai jalan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menyokong mobiliti elektrik sehingga Disember 2025.

Ia dijangka berlanjutan selama beberapa tahun sebelum struktur cukai baharu untuk kenderaan elektrik diperkenalkan. Ia dianggap lebih menguntungkan berbanding kenderaan bahan api konvensional.

Kemungkinannya, lebih 10 hingga 20 tahun lagi diperlukan sebelum infrastruktur pengecasan dapat dipenuhi di Malaysia.

Sementara itu, kerajaan sudah pasti akan terus menyokong ekosistem mobiliti elektrik dengan pelbagai insentif kewangan ke arah merealisasikan trend pengangkutan lebih lestari.

Di rantau ini, Malaysia di samping Thailand dan Indonesia dilihat bersaing untuk mendepani arus EV, walaupun masih banyak sektor hiliran berkaitan yang belum berkembang.

Ketiadaan infrastruktur yang lengkap untuk pengecasan di seluruh negara mungkin boleh digantikan dengan perkhidmatan penukaran bateri bercas, biarpun ia lebih sesuai untuk motosikal elektrik.

Sektor kitar semula bateri pula masih belum berkembang kerana rata-rata EV di negara kita belum lagi sampai ke peringkat penggantian atau pelupusan bateri.

Apa yang lebih penting adalah transisi kepada EV seharusnya melibatkan peralihan penjanaan tenaga lebih lestari.

Buat masa kini, kira-kira 80 peratus daripada penjanaan elektrik di Malaysia, Thailand dan Indonesia masih lagi bergantung kepada bahan api fosil.

Vietnam dilihat lebih terkedepan di rantau ini dalam penjanaan tenaga boleh baharu. Tanpa perhatian khusus, peralihan kepada EV hanya dapat mengurangkan pelepasan karbon di ekzos, tetapi tidak dapat mencapai matlamat besarnya iaitu ke arah pelepasan bersih sebelum tahun 2050.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN