Siput sedut dulu, baru awak. Siapa sangka content bersahaja @tansri_ash merubah dirinya menjadi insan popular dalam dunia media sosial.
Dia mula meraih tumpuan ramai apabila ‘menjual’ race siput sedut. Nampak pelik tetapi itulah realitinya pada zaman serba mencabar ini.
Perlumbaan ibarat cerita dongeng ini berjaya mengetuk hati ramai, bergelak ketawa dan menonton sehingga habis perlumbaan.
Celoteh bersahaja dia unik dan menghiburkan ibarat menonton perlawanan sebenar, padahal siput sedut hanya enak dimasak lemak cili api.
Kisah lelaki ini bermula dengan pertolongannya membeli satu plastik siput sedut berharga RM20, diletakkan di tepi sebelum siput sedut itu keluar dan mahu berlumba.
Melihat situasi itu, idea pelik tercetus dan hasilnya siput sedut berlumba atas tudung periuk sebelum dinaik taraf kepada litar lumba.
Setiap siput diberi nama dan mewakili negeri dengan perlawanan pertama Kedah yang menang.
Pintar lelaki ini mencuri hati orang yang ada antaranya galau, walaupun benda remeh lawan siput sedut sahaja tetapi ia telah jadi fenomena dan ramai tertarik, gelak tidak ingat ‘nyawa’ dan terhibur.
Dia pula berjaya meraih puluhan ribu views dengan pendapatan usah dikata.
Satu lagi ‘membeli jiwa’ adalah celoteh suami isteri, di mana sikap annoying bini membuatkan si laki ‘lemas’.
Content bersahaja meluat isteri asyik membeli dan dia asyik kena bayar membuatkan yang menonton geli hati. Cerita itu berlaku di dunia nyata.
Selepas siput sedut, ada juga yang mencipta perlawanan dam kerang.
Satu lagi, Datuk Red yang menjual sambal dan topi, diselitkan drama dengan bekas isterinya membuatkan ramai yang ‘bertenggek’ dekat live mereka.
Setiap kali live, pastinya mencanak naik views dan tidak kira lagi yang bertanya itu ini. Aksi bersahaja mereka bercerita membuatkan ramai terhibur.
Penulis tertarik adalah pempengaruh Cikamie Ku Gengster turut berjaya mencuri hati peminat dengan lawak bersahaja bersama suami.
Kisah dengan loghat Kelantan selain mempamerkan lagak wanita gengster membuatkan dia antara content creator yang menjadi bualan.
Tidak perlu mencipta content penuh aksi, duduk satu rumah bercampur, content hijab yang mengaibkan seolah-olah membuka pekung di dada.
Cukuplah dengan menonjolkan karakter diselitkan humor yang berguna ia mampu menarik minat dan menjana pendapatan.
Sejujurnya, rakyat Malaysia ini menghiburkan dan mudah terhibur.
















