SUNGAI SIPUT – Seorang remaja lelaki yang ditahan kerana dipercayai membunuh seorang kanak-kanak Orang Asli di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, direman selama tujuh hari bermula semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyifa Redzuan terhadap suspek yang berusia 17 tahun bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Sungai Siput pada pukul 8.30 pagi dengan berbaju T dan diiringi anggota polis.
Suspek ditahan polis petang kelmarin susulan penemuan mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, pada Sabtu lalu.
Mayat kanak-kanak perempuan itu kemudian dibawa ke Hospital Sungai Siput dan hasil bedah siasat terdapat kesan tekanan di bahagian leher dan juga kesan koyakan di kemaluan mangsa.
Suspek yang ditahan dikatakan adalah saudara terdekat dengan mangsa.
Menurut kenyataan polis kelmarin, hasil siasatan awal mendapati, tempat terakhir kanak-kanak itu kelihatan adalah di Surau Madrasah Darulsalam di kampung berkenaan yang jaraknya kurang 100 meter dari rumah keluarganya.
Mayat mangsa telah dijumpai polis pada pukul 4.20 petang, Sabtu lalu, dalam keadaan terbaring di kawasan paya Kampung Bersah yang juga terletak kira-kira 100 meter dari rumah keluarga kanak-kanak itu.
Nuraina yang merupakan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu mempunyai masalah pendengaran dan lembam.
Mengikut laporan sebelum ini, mangsa dikatakan bermain di sekitar perkampungan tersebut sebelum dilaporkan hilang pada petang Jumaat lalu.














