SELEPAS seorang atlet rejam lembing Pakistan, Arshad Nadeem mencatat sejarah memenangi pingat emas pertama bagi acara individu buat negaranya pada temasya sukan Olimpik Paris, Perancis lalu, kepulangannya ke Pakistan disambut bak seorang raja.
Arshad bahkan menjadi tajuk utama berita tempatan dan luar negara, apabila memenangi pingat emas acara tersebut sebelum Olimpik Paris 2024 menutup tirainya baru-baru ini.
Video yang memaparkan sambutan luar biasa oleh ribuan penyokong Arshad yang meraikan kejayaannya itu juga tular di media sosial.
“Orang ramai telah menyambut kepulangan saya dengan penuh kasih sayang.
“Jika mereka terus menyokong saya seperti ini, dengan izin Tuhan, saya akan memberikan aksi lebih cemerlang pada perlawanan seterusnya,” ungkap Arshad usai kembali ke Pakistan.
Sebelum kemenangan mengagumkan Arshad di Paris 2024, Pakistan tidak pernah menang pingat emas individu pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Sebelum ini, Pakistan hanya meraih satu-satunya emas Olimpik menerusi pasukan hoki pada tahun 1984.

Atlet berusia 27 tahun itu menghadiahkan emas kedua Pakistan di Sukan Olimpik selepas 32 tahun ‘kemarau’ apabila mengungguli acara rejam lembing lelaki di Stade de France.
Memetik laporan laman berita NDTV, Arshad merupakan seorang atlet miskin dan pada awal kerjaya juga, dia tidak mempunyai wang untuk membeli lembingnya sendiri.
Arshad menggunakan wang derma daripada rakan-rakan sekampungnya di Mian Channu, Punjab dan saudara-maranya untuk pergi ke bandar bagi menjalani latihan dan menyertai acara sukan merejam lembing.
Bahkan, media sebelum ini juga pernah melaporkan keluarga Arshad hidup susah dan hanya makan daging setahun sekali.
Arshad mula menjadi atlet rejam lembing sejak tahun 2015 dan layak ke Olimpik Tokyo, pada 2021, namun sekadar meraih tempat kelima ketika itu.
Kejayaan membanggakan Arshad di Olimpik Paris dianggap tuah kepada lelaki itu dan ganjaran yang diterima bakal mengubah kehidupannya sekelip mata.
Ketua Menteri wilayah Punjab, Maryam Nawaz mengumumkan hadiah wang tunai sebanyak 100 juta rupee Pakistan (RM1.59 juta) untuk Arshad.
Selain itu, Datuk Bandar Karachi, Murtaza Wahab pula memberikan wang ganjaran sebanyak 50 juta rupee Pakistan (RM795,850) kepadanya.
Murtaza turut mendedahkan rancangan menubuhkan sebuah akademi sukan di Karachi yang akan dinamakan sempena Arshad Nadeem.

Semua ganjaran tersebut akan meningkatkan nilai kekayaan bersih atlet itu yang ketika ini dianggarkan sudah memiliki aset kurang 10 juta rupee Pakistan (RM159,170).
Lebih menarik, lelaki itu turut menerima hadiah berupa seekor kerbau daripada bapa mentuanya, Muhammad Nawaz.
Menurut Muhammad Nawaz, dalam komuniti mereka, hadiah kerbau paling tinggi nilainya selain dianggap sebagai satu pemberian penuh penghormatan.
Biarpun mencatat pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa, Arshad masih lagi berpegang kepada asal usulnya, selain masih tinggal bersama ibu bapa serta adik-beradiknya yang lain di Punjab.
Berkongsi perihal anak lelakinya itu, bapa Arshad, Muhammad Asyraf yang merupakan seorang buruh binaan memberitahu, perjalanan Arshad untuk bergelar atlet adalah penuh cabaran.
“Orang tidak tahu bagaimana Arshad boleh sampai ke peringkat ini.
“Penduduk kampung dan juga saudara-mara pernah menderma wang untuk Arshad, supaya dia boleh mengembara ke bandar lain untuk menjalani latihan,” katanya.
Menjadi kelaziman di Pakistan, atlet-atlet bukan kriket lazimnya tidak begitu mendapat bantuan dan Arshad pernah menyuarakan kesulitan ekstrem yang dilalui dirinya.
Jika rakan-rakan atlet lain berlatih dalam suasana selesa berserta peralatan sukan canggih sebagai persiapan menyertai sukan Olimpik, Arshad bagaimanapun hanya berlatih dengan menggunakan lembing dibuat sendiri.
Abang Arshad, Shahid Nadeem memberitahu, kekurangan kemudahan dan peralatan menyebabkan mereka perlu menjadi kreatif agar bintang Olimpik itu boleh terus berlatih.
“Pada awal latihan Arshad, kami menghasilkan lembing sendiri dengan menggunakan dahan pokok eucalyptus.
“Padang-padang di kampung kami pula menjadi tempat latihan, manakala peralatan latihan beban yang lain pula dihasilkan menggunakan batang besi, tong minyak dan konkrit,” ujar Shahid.
Sebelum layak menyertai sukan Olimpik, Nadeem telah berlatih dengan menggunakan lembing yang sudah rosak selama bertahun lamanya, sebelum berjaya mendapatkan lembing baharu daripada kerajaan Pakistan.
Ibu Arshad, Razia Parveen memberitahu dia gembira apabila kerajaan Pakistan akhirnya menaja lembing buat anaknya.
“Kerajaan menaja lembing dan kemudahan-kemudahan lain untuk Arshad. Dia bawa pulang tiga lembing baharu dari Afrika Selatan,” ujar Razia.
Berkongsi perihal keluarga mereka, Shahid memberitahu keempat-empat adik-beradik lelaki dalam keluarga itu adalah ahli sukan.
Bagaimanapun, tiga daripada mereka terpaksa melupakan minat tersebut dan mencari kerja buat menyara keluarga dan tidak menyangka bahawa keputusan Arshad untuk terus mengejar cita-cita sebagai atlet telah mengubah nasib keluarga mereka.
Berkat latihan berterusan, Arshad pada awal tahun ini memberitahu stesen berita Al Jazeera bahawa dia tahu dia mampu melontar lembing sehebat persembahannya pada temasya sukan Olimpik baru-baru ini.
“Orang pernah melihat saya melontar jarak jauh, malah saya juga pernah terdengar perbualan orang bahawa saya boleh lontar sejauh hampir 100 meter.
“Namun, saya enggan berharap terlalu tinggi,” katanya.
Dalam percubaan kedua di pusingan akhir, Arshad merejam lembing pada jarak 92.97 meter dan meraih emas sekali gus memecah rekod Olimpik.














