PETALING JAYA – Terdapat segelintir pelanggan kesepian memesan makanan secara dalam talian semata-mata mahu memerangkap golongan penghantar sebagai mangsa pemuas nafsu mereka.
Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, mereka mengambil kesempatan dengan melakukan tempahan bukan sebagai niat utama, tetapi sebaliknya demi mendapatkan atau menjerat petugas e-hailing dan p-hailing.
“Pelanggan terlibat akan berketrampilan seksi dan mencolok mata ketika menerima pesanan dan ada kejadian pernah berlaku tanpa mengenakan seurat benang pun di badan.
“Perkara ini perlu ditangani dengan advokasi yang kerap dan kempen kesedaran daripada kerajaan dan pemilik syarikat agar ia dapat dibendung sebelum menjadi normal dalam industri.
“Bergerak ke hadapan, polisi yang jelas dan ketat terhadap kepenggunaan perlu diterapkan ke dalam industri ini agar tiada golongan terutama pelanggan dengan mudah mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, setiap bulan lebih lima kes diadukan kepada pihak persatuan dan rider dinasihatkan segera membuat laporan polis, selain memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak EHO (e-Hailing Operator) atau PHO (p-Hailing Operator) agar mereka boleh mengambil tindakan atau memantau tata kelaku pengguna tersebut.
“Bagaimanapun, kebanyakan kejadian tidak dilaporkan atas beberapa faktor seperti malu dan masih lagi kekurangan tahap kesedaran dalam kalangan komuniti e-Hailing dan p-Hailing.
“Kami di pihak persatuan biasanya akan menasihatkan agar komuniti kami melaksanakan tanggungjawab dengan membuat laporan agar perkara ini tidak berulang atau terpalit kepada rakan komuniti lain,” katanya.
Tambahnya, jika perkara seperti gangguan seksual itu tidak dibendung dan diambil serius, pelanggan yang terlibat kemungkinan besar akan terus mengganggu mangsa atau mencari mangsa baharu.
Mengulas mengenai antara aduan yang dilaporkan, Jose memaklumkan, ada satu kejadian sewaktu penghantar makanan hendak melaksanakan tugas penghantaran makanan, dia dipelawa masuk ke rumah pelanggan untuk meletakkan pek bungkusan.
“Lebih dahsyat, rider tersebut terus digoda dengan perkataan lucah dan gaya seksual untuk mendapatkan perhatian,” ujarnya.














