JIKA sekitar 1990-an, lanskap dunia hiburan tanah air dirancakkan dengan kemunculan kumpulan wanita seperti Feminin dan Elite yang menjadi fenomena kebangkitan muzik pop yang digilai golongan muda ketika itu.
Trend tersebut kini menjadi ikutan dengan kemunculan Dolla yang turut mencetuskan nuansa seperti kumpulan K-pop apabila meraih sambutan hangat walaupun debut ketika musim Covid-19.
Usia kumpulan yang baru lima tahun tumbuh dalam industri muzik itu juga bukan penghalang semangat ahlinya, Sabronzo, Angel dan Tabby untuk menjayakan sebuah konsert sulung penuh kehangatan, Dolla Re:Birth The Experience di Zepp, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meskipun harus meneruskan perjalanan karier tanpa Syasya yang mengundur diri, Dolla tetap menyajikan persembahan menakjubkan dengan sajian lagu serta tarian yang mampu membuntangkan mata khalayak.
Itulah penangan trio terbabit yang kental membina nama dalam dunia seni walaupun berhadapan jatuh bangun sepanjang enam tahun untuk kekal ampuh.

Semasa perjumpaan bersama media, Sabronzo atau nama lengkapnya Wan Sabrina Wan Rusli, 29, menyatakan cabaran mereka menyiapkan konsert perdana itu cukup besar, namun berbaloi kerana bakal tersemat dalam ingatan sebagai memori terindah.
“Sudah tentu untuk buat konsert pertama akan ada banyak cabaran terutama sekali bagi label kami.
“Banyak benda kami alami sepanjang perjalanan menjayakan persembahan seperti persediaan selama empat ke lima bulan dan juga perlu ke gimnasium sejak dua ke tiga bulan sebelum konsert.
“Apabila berada di pentas tempoh hari melihat semua peminat yang datang membuatkan kami hilang rasa penat dan puas dengan kerja keras yang dilakukan sebelum ini,” katanya tersenyum.

Variasi bangsa
Tidak sampai 30 minit beraksi, Dolla sudah menukar persalinan kedua dengan menggayakan baju-T warna putih dan meneruskan persembahan dengan seleksi popular mereka seperti Damelo, Masa dan Impikan.
Menariknya kali ini, buat pertama kalinya lagu Masa disampaikan secara langsung di hadapan peminat.
Difahamkan, bukan hanya peminat berbangsa Melayu malah kehadiran pengunjung berbangsa Cina dan India turut memeriahkan hari indah Dolla.
Bagi Tabby atau nama asalnya Tabitha Ariel Lam kehadiran pelbagai bangsa ketika konsert mereka sebagai satu kebanggaan kerana mampu menyatukan rakyat Malaysia.
“Perkara utama mengenai Dolla adalah kita dapat lihat pelbagai budaya apabila pengunjung yang datang berbilang kaum.
“Benda paling teruja apabila semua bertutur dalam bahasa berlainan tetapi mampu menyanyikan lagu kami dalam bahasa Melayu. Itu sangat indah.
“Kami juga tidak sangka, ada peminat dari Paris yang sanggup terbang dari sana semata-mata mahu melihat konsert kami,” ujar penyanyi berusia 24 tahun itu.

Sebak
Semasa konsert, bukan sahaja peminat yang menerima kejutan, bahkan Dolla sendiri dikejutkan dengan tayangan video istimewa daripada kelab peminat menggunakan nama iDolla sebagai rakaman terima kasih atas kerja keras kumpulan itu selama ini.
Terharu. sebak dan bersulam banyak rasa, Dolla sempat menitiskan air mata, tidak sangka usaha mereka selama begitu berbekas di jiwa peminat.
Sementara itu, Angel atau Angelina Chai Ka Ying turut berbangga apabila tiada langsung salah faham antara mereka tercetus sepanjang melakukan persediaan konsert walaupun pengalaman tersebut besar tekanannya.
“Tak sangka kami tidak bergaduh sepanjang melakukan persediaan konsert cuma stres itu biasalah.
“Apa-apa yang terjadi pun kami tetap tak bergaduh cuma tidak bercakap. Kami menjauhkan diri dari satu sama lain sekiranya ada terasa hati.
“Setakat ini, kami satu kepala dan tak mahu ambil kisah isu lain. Kami cuba jadi profesional dengan memahami keadaan masing-masing,” ujar anak jati Kuching, Sarawak itu.
Untuk masa akan datang juga, diharapkan Dolla mampu melahirkan lebih banyak lagu supaya peminat lebih puas untuk hadir ke konsert yang berskala besar suatu masa nanti.
Sebelum menggulung bicara, Sabronzo yang lebih mesra disapa Sab itu berkongsi apa yang dipelajari sepanjang menjayakan konsert demi memuaskan hati iDolla.
“Apa yang kami belajar berdasarkan konsert ini adalah tidak mengaku kalah. Memang menjayakan konsert ini bukan sesuatu perkara mudah sampai malam pun masih bekerja.
“Namun, semua yang dilakukan adalah untuk peminat dan juga keluarga kami,” tutupnya.















