fbpx
Penulis (kiri) dengan ikan talang yang berjaya ditangkap dalam kunjungan pertama di PD.

K2

Trip ‘jigging’ santai di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKENALAN penulis dengan Azrin Mohd. atau mesra disapa Abang Catt adalah ketika kami bersama-sama mengikuti rombongan ke Luconia, Sarawak pada tahun lalu.

Sejak dari itu, jalinan persabahatan itu diteruskan sehinggalah beberapa bulan lalu, penulis dipelawa untuk turun jigging ke Port Dickson (PD), Negeri Sembilan memandangkan Abang Catt merupakan seorang tekong bot yang berpengalaman.

Memandangkan jarak pemanduan dari Damansara ke PD hanya memakan masa kurang sejam setengah, penulis bersetuju untuk datang bertandang ke PD.

Kali pertama penulis menjejakkan kaki ke situ untuk memancing ketika masih lagi menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sekitar 15 tahun dahulu.

Ketika itu penulis bersama-sama bapa dan adik menaiki bot untuk memancing ‘bottom’ di pulau-pulau sekitar perairan PD.

Jika di perairan Mersing terkenal dengan spesies ikan terlaju di dunia, ikan layaran, PD juga dikenali sebagai lubuk salah satu ikan sukan yang boleh dianggap ikon perairan PD, talang raya.

Selain talang, perairan PD turut dihuni spesies ikan seperti tenggiri batang, tenggiri bunga, gerong belang, geropoh, ikan merah dan banyak lagi.

Pada kunjungan pertama bersama Catt, penulis turut disertai oleh abang penulis yang pertama kali mencuba teknik jigging.

Boleh dikatakan trip tersebut berjaya, apabila secara keseluruhan hasil kunjungan pertama kami berjaya menaikkan 13 ekor ikan talang raya (Scomberoides commersonnianus), berat purata lima hingga enam kilogram walaupun hanya sempat memancing selama empat jam dek kerana keadaan laut dan cuaca yang tidak mengizinkan kami untuk memancing lama.

Untuk rekod, talang terberat yang pernah dinaikkan oleh pemancing yang menggunakan khidmat Catt seberat 16 kilogram.

Kemudian, baru-baru ini, penulis berkunjung semula ke PD. Kali ini penulis bersama-sama Iejan, Zahari, Aboy dan Jaal, kesemua mereka merupakan sahabat yang membesar bersama penulis di Kampung Merbau Sempak, Shah Alam.

Kali ini penulis turut berpeluang menguji prototype joran jigging versi terbaharu keluaran tempatan daripada jenama Rentaka.

Sebelum ini, penulis turut pernah menguji dua versi awal prototype joran tersebut yang dinamakan sebagai RAGE.

Kami tidak meletakkan sasaran untuk jenis ikan, trip kali ini lebih santai.

Setiba kami di jeti yang terletak di pekan lama PD, Abang Catt sudah sedia menunggu di bot, menunggu kami memunggah segala peralatan sebelum ke spot yang pertama.

Keadaan laut agak beralun berbanding ketika penulis turun kali pertama.

Berulang kali juga Abang Catt menukar spot yang ditandakan dalam GPS, namun ikan tidak begitu ramah menghentam kepingan jig.

Sehinggalah Zahari memecah kebuntuan apabila menaikkan ikan kunyit dengan menggunakan jig seberat 80 gram.

Selang beberapa ketika, Zahari sekali lagi berjaya menaikkan ikan parang yang agak besar saiznya, hampir setengah depa panjang. Agak jarang sebenarnya ikan parang menghentam jig, selepas itu keadaan kembali tenang.

Penulis masih lagi mencari dan rakan lain masih lagi mencari ‘strike’, walaupun keadaan air dan cuaca ‘cantik’, namun kadangkala ia tidak menjamin hasil yang banyak.

Kami berpindah spot untuk ke arah laluan kapal, kali ini rod prototype Rentaka yang digunakan penulis, dihenjut kuat dari dasar, penulis beranggapan spesies gerepoh atau GT yang yang menjamah jig 150 gram bercorak ikan kembung penulis, dek kerana lariannya ketika menyambar jig agak deras.

Setelah beberapa minit, seekor ikan talang dengan anggaran seberat 5 kilogram didaratkan.

Sejurus kemudian, giliran Jaal pula berjaya menaikkan seekor lagi talang yang hampir sama saiznya.

Beberapa kali juga Aboy dikecewakan apabila kerap kali kepingan jignya dihentam dan dilarikan ikan, namun semuanya terlucut.

Sebelum menamatkan trip pada hari tersebut, kami singgah di spot terakhir yang dipercayai dihuni ikan saiz besar.

Penulis berjaya mendaratkan seekor ikan merah bersaiz hampir 3 kilogram, manakala Aboy akhirnya berjaya menamatkan ‘badi’ apabila mendaratkan seekor talang seberat hampir 7 kilogram.

Walaupun hasil agak kurang, namun kami masih lagi boleh tersenyum dengan hasil keseluruhan seekor ikan merah, seekor ikan parang dan empat ekor talang untuk dibawa pulang.

Sedikit tip jika anda ingin turun ke PD menggunakan khidmat tekong BC, kepingan jig yang disarankan jika turun ke sini adalah jenis fast jig berwarna perak 60-100 gram dengan profil yang panjang jika ingin mencari talang, atau jenis profil yang gemuk dan lebar berwarna terang (merah, pelangi atau oren) dengan berat 150-200gram jika ingin memburu ikan bersisik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN