PETALING JAYA – Berdepan dengan masalah kulit bersisik seluruh badan sejak lahir, Muhammad Hassan, 27, meluahkan dirinya selalu dihina dan difitnah orang ramai yang ‘bermulut jahat’ terutama ketika membuat siaran langsung di TikTok.
Biarpun kelihatan tabah menjadi salah seorang penghidap penyakit kulit dikenali sebagai Ichthyosis, namun pemuda yang aktif di media sosial TikTok itu adakalanya tergores hati.
Menurut Muhammad, dia tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya itu sebagai alasan untuk meminta simpati orang ramai, malah sudah 10 tahun gigih mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Ampang.
“Walaupun selalunya saya kuat semangat, tapi adakala kata-kata netizen terlalu ‘tajam’ untuk saya hadam. Tak rasa bersalah langsung hina dan fitnah ketika saya bersiaran di media sosial.
“Ada yang tuduh kata penyakit ini berjangkit, menyebabkan badan berbau, malah ada yang kata saya buat tatu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Anak ke-11 daripada 12 beradik itu turut mendedahkan, empat adik-beradiknya juga menghidap penyakit yang sama dengan tiga daripadanya sudah meninggal dunia disebabkan sakit jantung dan ketika dilahirkan.
“Adik bongsu saya, Shahidallah, 24, yang hidap penyakit sama seperti saya pun kini gigih cari rezeki bekerja sebagai pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Tegas pemuda ini yang sudah pun mendirikan rumah tangga pada April tahun lalu, keluarga termasuk isteri dan anaknya menjadi sumber kekuatan untuk meneruskan hidup dan mencari rezeki.
“Saya bertuah memiliki keluarga yang sentiasa memberi sokongan. Kini isteri pula menjadi penyokong terkuat saya, bagi semangat dan sentiasa pesan supaya jalan terus serta jangan pedulikan hinaan orang.
“Orang tak tahu betapa sukarnya saya berdikari nak teruskan kehidupan. Daripada kerja kampung, pasar, kedai dan stor, semua saya cuba. Sebelum dapat kerja ini (pengawal keselamatan) pernah cuba mohon yang lain tapi sangat sukar apabila didiskriminasikan.
“Penyakit ini tak berjangkit langsung. Kepada yang menghina, saya tak mampu balas tapi ingat kifarah tu ada,” luahnya.
Sementara itu, Muhammad memberitahu, dia kini sedang berusaha untuk mengumpul wang untuk rawatan mata yang telah mengganggu penglihatan, namun berdepan kekangan kewangan ekoran pendapatan sebulan hanya RM2,500.
“Saya dalam perancangan untuk mohon bantuan zakat bagi tujuan ini. Difahamkan untuk pemeriksaan saja pun perlukan kos sebanyak RM600. Belum lagi rawatannya.
“Kalau boleh saya mahu buat rawatan segera sebab ia mengganggu rutin dan pekerjaan harian saya,” ujarnya.
Sementara itu, isteri Muhammad, Nur Azlina Ali, 27, yang merupakan seorang suri rumah berkata, dia langsung tidak memandang kekurangan suami, malah tertarik dengannya sejak kali pertama berkenalan.
“Beberapa perkara yang ada pada Muhammad buat saya jatuh hati, antaranya jujur, penyabar, penghibur dan paling saya kagum adalah semangatnya yang yakin serta berani berhadapan dengan orang ramai walaupun keadaannya begitu.
“Cuma sebagai isteri, saya agak terasa apabila orang hina suami. Mungkin bagi suami itu perkara biasa, tapi saya tak boleh terima sebab dia pun manusia biasa yang punyai hati dan perasaan,” luahnya.














