PETALING JAYA – Makanan viral mengandungi 95 peratus kolesterol jahat yang boleh mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan seperti jantung tersumbat.
Berkongsi perkara itu, Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan orang ramai untuk mengurangkan pengambilan lemak tepu dan trans yang banyak terdapat dalam makanan viral.
PHM turut kongsikan empat lagi cara untuk mengawal kolesterol iaitu dengan pengambilan minyak sihat seperti minyak kelapa dara, minyak zaitun dan makan ikan berlemak seperti salmon.
“Lemak sihat ini ada sifat anti radang, ia membantu proses metabolisma lemak dengan cekap dan elakkan lemak bertakung dalam darah.
“Selain itu, digalakkan juga untuk makan lebih banyak serat seperti buah, sayur dan bijirin penuh.
“Serat larut dalam air dan membentuk gel dalam saluran pencernaan. Gel ini mengikat kolesterol dan asid hempedu dalam usus yang menghalang penyerapan kolesterol ke dalam aliran darah.
“Akibatnya, kolesterol dikeluarkan dari tubuh melalui najis,” kata PHM menerusi perkongsian di Facebook.
PHM juga menyarankan untuk melakukan aktiviti riadah seperti bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari kerana ia dapat membantu mengangkut kolesterol dari arteri ke hati untuk diproses dan dikeluarkan dari tubuh.
“Berhenti merokok. Tingkatkan kolesterol baik dan jaga saluran darah anda. Rokok merosakkkan saluran darah.
“Saluran darah rosak mudah tersumbat dan pecah,” katanya.- KOSMO! ONLINE