GEORGE TOWN – Tindakan seorang jurujual mengugut untuk membakar rumah ibunya bulan lalu mengundang padah apabila dia didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Kelvin Gun Soon Ming, 44, turut berdepan hukuman penjara lapan bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.
Kelvin membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.
Lelaki itu melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya yang berusia 69 tahun dengan menyatakan bahawa dia akan membakar rumah sekiranya warga emas itu tidak memberinya wang sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Baru Ayer Itam, di sini pada pukul 10.30 malam, 9 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Kelvin meminta wang berjumlah RM5,000 kepada ibunya untuk membeli kereta namun ibunya tidak memberikan wang tersebut sehingga menyebabkan tertuduh mengugut mangsa. -KOSMO! ONLINE