fbpx
Keratan akhbar Kosmo! semalam.

Rumah sewa punca flat jadi koloni PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sikap pemilik rumah flat yang suka menyewakan kediaman mereka kepada warga asing dikenal pasti sebagai punca utama kawasan berkenaan mudah menjadi koloni asing termasuk didiami oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mendedahkan perkara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, faktor tersebut merupakan realiti kehidupan yang perlu dihadapi apabila ramai warga asing bergantung kepada pemilik rumah untuk menyewa kediaman.

Katanya, setakat ini tiada sebarang kekangan dikenakan kepada pihak terbabit dengan hak menyewa adalah hak milik pemilik rumah tersebut.

“Kalau pemilik rumah tidak sewakan, orang-orang itu (warga asing dan PATI) tidak akan duduk di satu-satu kawasan. Mereka ini juga terlibat dalam aktiviti-akti­viti tertentu.

“Ini realiti yang terpaksa kita hadapi. Masalah urbanisasi dan masalah pekerja bukan hanya berlaku di Selangor, malah semua tempat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebanjiran warga asing di Taman Alam Jaya, Puncak Alam sehingga kejiranan berkenaan seolah-olah menjadi koloni asing.

Mengulas lanjut, beliau mengakui kebanjiran warga asing di satu-satu kawasan penempatan sehingga mencetuskan keresahan bukanlah satu perkara baharu, tetapi telah berlaku sejak pandemik Covid-19 lagi.

Justeru, beliau menjelaskan tumpuan kerajaan negeri ketika ini adalah mewujudkan penempatan pekerja-pekerja asing ini di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

“Prosesnya masih berjalan dan banyak yang kita sedang buat (CLQ ini). Kalau lihat di luar negara pun, banyak isu berkaitan hal-hal pekerja asing ini,” ujarnya.

Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri sangat mengambil maklum mengenai keresahan tersebut dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan akan dibuat bagi membantu koordinasi dari segi penempatan warga asing.

“Kalau mereka dapat hidup aman makmur dan harmoni, itu adalah jauh lebih baik dan berlaku di banyak tempat.

“Kalau ada kes tertentu dan mungkin terpencil, maka perlu ditangani sesuai dengan peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin ketika dihubungi memberikan respon positif dan memaklumkan operasi atau serbuan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Ya (serbuan akan dibuat). Jabatan Imigresen Selangor akan mengambil tindakan sewajarnya bersama agensi berkaitan,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan lebih 1,000 warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar ‘menjajah’ Taman Alam Jaya di Puncak Alam di sini sejak 10 tahun lalu dengan menguasai kediaman flat serta rumah-rumah kedai sekaligus menjadi koloni asing di kawasan perumahan itu.

Mereka turut mengusahakan perniagaan sendiri seperti kedai runcit dan makanan di taman industri di lokaliti itu, malah pada hujung minggu, lokasi tersebut persis bandar mini warga asing dengan kehadiran rakan-rakan senegara dari tempat lain.

Rata-rata warga asing turut mendakwa cukup selesa dan tenang tinggal di kawasan tersebut memandangkan kawasan berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan.

Situasi itu membuatkan penduduk rimas serta rasa terancam dan menyeru kepada pihak berkuasa agar serbuan dilakukan segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN