TEKNOLOGI berkaitan haiwan peliharaan merupakan sesuatu yang jarang diterokai.
Malah, tidak banyak produk yang menawarkan kelengkapan penjagaan haiwan dengan dilengkapi teknologi terkini.
Sehubungan itu, sebuah syarikat teknologi dari Switzerland, Flappie menampilkan inovasi pintu kucing berkuasa kecerdasan buatan (AI).
Menurut kenyataan daripada Flappie, antara kelebihan pintu kucing AI tersebut, ia boleh terkunci secara automatik jika kucing cuba membawa masuk mangsa yang ditangkap dari luar rumah.
“Di sisi pintu yang menghadap ke luar, anda akan menemui penderia gerakan dan kamera penglihatan malam.
“Kami telah menyusun set data selama bertahun-tahun dengan tumpuan pada kepelbagaian kucing dan mangsa, selain dirakamkan dalam pelbagai keadaan pencahayaan,” katanya.
Tambahnya, sistem pengesanan berkuasa AI adalah tepat pada kadar lebih 90 peratus, bermakna kebarangkalian kucing membawa barang asing dari luar adalah rendah.
Terdapat beberapa suis manual di bahagian dalam pintu supaya pengguna boleh mengunci dan membukanya pada bila-bila masa serta mematikan sistem pengesanan mangsa.
Flappie mengatakan bahawa pintu ini juga secara tidak langsung melatih haiwan peliharaan supaya tidak masuk ke rumah apabila membawa sesuatu. Apabila kucing menjatuhkannya, pintu akan dibuka dengan segera supaya ia boleh masuk ke dalam.
Pintu ini juga dilengkapi aplikasi supaya pengguna boleh mengawalnya dengan menggunakan telefon pintar.
“Pintu ini dilengkapi cip pengesan yang menyimpan data-data kucing peliharaan pengguna. Ia juga boleh menghalang kucing liar daripada memasuki rumah.
“Pengguna juga boleh memantau aktiviti keluar masuk kucing melalui telefon pintar,” ujarnya.














