JERANTUT – Petanda awal bermulanya musim kemarau di kawasan Ulu Tembeling di sini, menyaksikan air Sungai Tembeling mula beransur surut apabila sebahagian kawasan mulai cetek sehingga nampak beting pasir.
Fenomena yang mula berlaku sejak minggu lalu itu boleh dilihat di Kampung Bantal yang sekali gus menjejaskan rutin harian penduduk terutamanya bagi nelayan sungai dan penduduk yang menggunakan bot penambang.
Kawasan sungai tersebut yang mula menampakkan beting pasir sepanjang 50 hingga 80 meter sehingga menyukarkan laluan bot penambang dan aktiviti penangkapan ikan sungai.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 46, berkata, kelazimannya mulai bulan Jun hingga September setiap tahun paras air Sungai Tembeling mula cetek kerana tiada hujan di kawasan ulu sungai.
“Keadaan air cetek menyebabkan timbul pasir di kebanyakan tempat di sungai ini dan membentuk beting pasir berdekatan tebing dan pulau di tengah sungai,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan itu mengganggu pergerakan bot penambang memunggah penumpang dan hasil kampung serta bot gentian kaca yang digunakan oleh nelayan sungai cari rezeki.
“Cuaca panas juga menyebabkan air Sungai Tembeling semakin cepat cetek dan memberi kesan kepada aktiviti harian penduduk di pesisir sungai iaitu Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal,
Kampung Bantal Seberang, Kampung Gusai dan Kampung Mat Daling untuk ke tempat kerja dan urusan lain,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini semalam.
Dalam pada itu pengusaha ternakan ikan sangkar, Mohd. Zaimi Ali, 60, berkata, sekiranya kemarau berterusan, keadaan Sungai Tembeling akan nampak keseluruhan pasir, bermula di tengah sungai hingga ke tebing yang boleh menjejaskan ternakan ikan sangkar.
“Saya dan rakan pengusaha mula memindahkan sangkar ke kawasan yang masih berair di Sungai Tembeling bagi memastikan ternakan ikan patin dan tilapia terus hidup.
“Cabaran penternak ikan sangkar di Ulu Tembeling bukan sahaja musim kemarau, malahan ketika musim tengkujuh pun perlu mengawasi sangkar ternakan supaya tidak dihanyutkan banjir,” jelas Mohd. Zaimi














