fbpx
Rawatan 'laser vaginal tightening' menggunakan peranti yang dipancarkan pada dinding faraj untuk meningkatkan kadar kolagen. – Gambar hiasan

K2

Rawatan ketat faraj ubah ciptaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya berkeinginan mendapatkan rawatan laser vaginal tightening untuk merangsang kolagen dan keanjalan di persekitaran faraj memandangkan saya telah bersalin beberapa kali. Rawatan ini mampu mengetatkan faraj di samping meningkatkan kualiti hidup berpasangan. Justeru, adakah keinginan sebegini dibenar syarak?

Jawapan: Rawatan laser vaginal tightening merupakan rawatan tanpa pembedahan yang bertujuan mengetatkan otot-otot di bahagian faraj yang sudah mengendur supaya ia kembali kepada fungsinya yang normal. Prosedur rawatan adalah dengan menggunakan peranti laser yang dipancarkan pada dinding faraj untuk meningkatkan kadar kolagen.

Antara faktor yang menyebabkan kelonggaran faraj adalah kehamilan, kelahiran anak, penuaan, peningkatan usia, genetik, trauma pelvis, melakukan aktiviti berat dan sebagainya.

Akibatnya, seseorang wanita akan berdepan masalah kekurangan fungsi seksual terutama apabila bersama dengan pasangan, otot lantai pelvis yang lemah, masalah pembuangan air kencing yang tidak terkawal dan lain-lain. Kesan rawatan bertahan sehingga tempoh lebih 12 bulan. Kos purata untuk rawatan laser faraj di Malaysia adalah lingkungan RM2,500 satu sesi bagi tiga kali rawatan.

Mengubah ciptaan Allah SWT bermaksud mengubah fitrah yang ditetapkan pada makhluk-Nya, sama ada dari sudut agama atau penciptaan-Nya.

Ini berdasarkan dalil-dalil berikut: Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia atas fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada penciptaan (fitrah) Allah itu. (Surah al-Rum ayat 30)

Sebarang prosedur rawatan yang membawa perubahan anggota badan manusia semata-mata untuk kecantikan tanpa keperluan adalah diharamkan syarak.

Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Allah melaknat wanita-wanita bertatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita mencukur bulu kening dan wanita yang minta mencukur kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang (semua itu) mengubah ciptaan Allah.”

Imam al-Nawawi mensyarahkan makna perkataan lilhusni bagi perbuatan menjarangkan gigi dalam hadis tersebut adalah: “Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan memberi makna mereka melakukan perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan ia sebagai isyarat kepada hukum haram. Adapun sekiranya berhajat untuk tujuan rawatan atau kerana aib pada gigi dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah.”

Niat merupakan perkara pertama yang dijadikan pertimbangan dalam penentuan hukum. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur:

“Setiap perbuatan berdasarkan kepada niatnya.”
Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyatakan perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT melalui rawatan kosmetik perlu dilihat dari sudut maslahat kepada individu dan tujuan pelaksanaannya.

Sekiranya rawatan berada pada tahap keperluan mendesak (daruriyyat) dan menghindarkan dari kepayahan (hajiyyat), maka perbuatan ini dibenarkan oleh syarak.

Namun, jika berada pada tahap tahsiniyyat (kesempurnaan) yang bersifat semata-mata mencantikkan dan memperelok diri, maka hukumnya adalah haram.

Kesimpulannya, prosedur rawatan laser vaginal tightening atau mengetatkan otot-otot faraj melibatkan proses mengubah ciptaan Allah SWT memandangkan kelonggaran faraj termasuk dalam kategori perubahan semula jadi yang berlaku kepada para wanita disebabkan kekerapan bersalin, penuaan, genetik mahupun kerja-kerja berat.

Justeru, perkara yang perlu dipertimbangkan dalam penentuan hukum adalah niat melakukan rawatan itu sama ada bertujuan kosmetik semata-mata atau atas dasar maslahah daruriyyat atau hajiyyat.

Oleh yang demikian, solusi hukum berdasarkan keadaan berikut: Harus bagi tujuan merawat penyakit atau kecacatan akibat kesan kemalangan agar dapat mengembalikan bentuk asal serta fungsinya. Ia dikategorikan sebagai maslahah daruriyyat (keperluan mendesak).

Wanita yang ingin mendapatkan rawatan tersebut hendaklah mengutamakan pilihan doktor Muslim wanita dahulu.

Haram bagi tujuan kosmetik (tahsiniyyat) semata-mata mahupun meningkatkan kepuasan seks pasangan. Selain itu, berlaku fitnah yang besar kerana terdedah aurat yang bukan tujuan keperluan perubatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN