PONTIAN – Ahli keluarga lelaki hilang sejak 20 Jun lalu mendakwa anak mereka masih hidup tetapi berada jauh selain dijaga oleh seorang ‘perempuan’ bunian.
Mohd. Parin Miswan, 70, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang pengamal perubatan dan turut mengatakan anaknya, Muhammad Sufian, 39, ingin pulang tetapi tidak jumpa jalan.
Katanya, dia menggunakan khidmat lelaki itu selepas dipujuk penduduk kampung untuk menggunakan alternatif lain bagi mengesan anaknya.
“Saya dan isteri, Zaharah Bedu, 64, seperti berputus asa mencarinya yang hilang ketika hendak ke sebuah bank pada 20 Jun lalu.
“Kami adakan solat hajat, baca Yasin dan tahlil di masjid tetapi tiada khabar berita dan telefon tidak berangkat walaupun ada deringan,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Boh di sini semalam.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan kakak Muhammad Sufian, Noorlinayati, 46, merayu supaya pemandu lori simen di Pelabuhan Tanjung Pelepas itu pulang selepas hilang.
Menurut Mohd. Parin, dia tidak menolak kemungkinan anaknya dijaga perempuan bunian tetapi masih mengingati keluarga terutama ibu bapanya.
Tambahnya, ada sesuatu yang menghalang anaknya untuk berjumpa keluarga sehingga Muhammad Sufian tidak jumpa jalan pulang.
Sementara itu, Zaharah merayu agar Muhammad Sufian menghubungi keluarga.
“Abang (Muhamad Sufian) ni anak emak, emak dan reda, abang nak kahwin dengan siapa pun, emak setuju, abang baliklah, kami rindu,” katanya sambil menangis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Mohammad Shofee Tayib berkata, setakat ini pihaknya tidak mempunyai maklumat di mana Muhammad Sufian berada.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Rusaini Ramli di talian 013-655 5858.
















