SAUDARA PENGARANG
SEBAGAI seorang pengguna jalan raya, saya terpanggil untuk meluahkan kedaifan jalan di antara laluan Gua Musang ke Kuala Krai.
Pertamanya, saya dapati laluan ini gelap, kurang lampu jalan dan garisan atas jalan raya juga banyak yang pudar.
Situasi ini menyukarkan kepada para pemandu kenderaan terutamanya ketika memandu dalam cuaca hujan di malam hari.
Ada kalanya, jika hujan terlalu lebat, saya terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu hujan reda.
Selain itu, laluan ini juga bahaya kerana banyak lembu berkeliaran di tepi jalan dan ada sehingga ke atas jalan terutamanya selepas waktu hujan.
Beberapa kawan saya juga pernah mengalami kemalangan dengan haiwan ini terutamanya berdekatan kawasan Paloh dan Chiku di Gua Musang serta di Pahi, Kuala Krai.
Bagi saya, pemilik lembu tidak sepatutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran di atas jalan raya terutamanya pada waktu malam.
Kalau kena langgar dengan kenderaan, siapa mahu ganti kerosakan yang dialami oleh kenderaan kami? Itu kalau kenderaan rosak, kalau sampai kehilangan nyawa macam mana?
Walaupun saya tahu laluan ini sedang dinaik taraf dengan pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU), tetapi laluan sedia ada itu perlu diberi perhatian juga.
Sebab, nak tunggu laluan itu siap sepenuhnya, entah berapa tahun lagi, jadi tolonglah baiki dan atasi masalah yang dikemukan itu dahulu kerana ini adalah antara laluan masuk utama ke negeri Kelantan.
Kami juga bayar cukai, jadi jangan dengar dan tengok sahaja aduan kami ini.
Geng PJJ
Ampang, Selangor
















