SEGAMAT – Lebih 426 warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekok, di sini bimbang dan runsing berdepan dengan masalah hakisan tebing cerun selepas berlakunya hujan lebat sejak lebih setahun lalu.
Warga sekolah mendakwa, hakisan tebing sepanjang kira-kira 100 meter mengancam keselamatan mereka apabila susur jalan yang menjadi laluan utama berhampiran padang sekolah di sekolah terbabit semakin terhakis.
Menurut Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terbabit, Omar Ibrahim, 51, masalah berkenaan telah berlaku sejak 1 Mac 2023 ketika musim hujan dan lebih berbahaya jika berlaku runtuhan lebih besar terutama pada waktu sesi persekolahan.
“Susur jalan berhampiran tebing cerun ini adalah laluan utama ke padang sekolah selain tebingnya berhampiran parkir kenderaan kakitangan sekolah.
“Selain itu, pelbagai aktiviti riadah harian dilakukan di padang sekolah berkenaan melibatkan para pelajar serta guru,” katanya di sini semalam.
Katanya, sepanjang pemerhatian, jarak tanah yang terhakis adalah antara 10 hingga 15 meter sejak lebih setahun lalu.
“Kini hakisannya makin ketara dan membimbangkan. Hakisan itu menyebabkan tebing cerun kerap runtuh iaitu antara lima hingga lapan meter sekali gus boleh mengancam keselamatan warga sekolah serta kenderaan di parkir,” katanya.
Jelasnya, bagi mengelakkan sebarang risiko kecelakaan, warga sekolah kini dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif untuk aktiviti padang dengan menggunakan laluan lain di luar kawasan sekolah setiap hari, namun ia tetap berisiko kerana terpaksa menyusuri tepi jalan raya yang sibuk dengan lalu lintas.
“Setakat ini belum ada kemalangan berlaku di cerun ini, namun kita berharap pihak berwajib dapat mencari jalan penyelesaian segera sebelum berlaku perkara tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, ADUN Bekok, Tan Chong berkata, dia telah menerima aduan mengenai perkara itu dan isu itu pernah dibawa ke perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 13 Mei lalu.
“Namun, kerja-kerja penyelenggaraan sekolah merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Saya akan sampaikan surat kepada Kementerian Pendidikan dan Ahli Parlimen Labis untuk tindakan lanjut,” katanya.
















