fbpx
Gambar hiasan

Penantian emas Olimpik sejak 1956 perlu dinoktahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL dua hari saja lagi temasya sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik 2024 akan membuka tirainya secara rasmi.

Temasya yang berlangsung di kota cinta, Paris, Perancis itu bakal menyaksikan atlet-atlet berstatus bintang dari seluruh dunia bersaing merebut pingat emas ditawarkan, selain berusaha memecahkan rekod temasya dan dunia.

Kali ini, sebanyak 32 sukan dipertandingkan dengan 329 acara atau pingat emas menjadi rebutan para atlet. Menariknya, empat acara baharu diperkenalkan pada Sukan Olimpik Paris iaitu luncur papan selaju, memanjat, luncur air dan breaking.

Malaysia merupakan salah satu negara yang aktif menyertai Sukan Olimpik. Kontinjen negara telah menyertai temasya berkenaan sejak Sukan Olimpik Melbourne (Australia) pada 1956.

Namun pada tahun 1980, negara telah menyertai gagasan negara-negara lain untuk memulaukan Sukan Olimpik Moscow (Russia), sekali gus tidak mengambil bahagian dalam temasya berkenaan.

Sepanjang penglibatan Malaysia dalam Sukan Olimpik, atlet negara masih gagal membutirkan pingat emas, sebaliknya hanya mampu membawa pulang perak dan gangsa.

Sukan Olimpik Rio 2016 merupakan penyertaan paling cemerlang kontinjen negara apabila berjaya membawa pulang empat pingat perak dan satu pingat gangsa.

Pada Olimpik Jepun 2020, kontinjen Malaysia hanya membawa pulang satu pingat perak menerusi jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan gangsa melalui beregu badminton, Aaron Chia/Soh Wooi Yik.

Selepas penantian agak lama, ramai peminat sukan tanah air mahu menyaksikan lagu Negaraku berkumandang di pentas Sukan Olimpik buat pertama kalinya di Paris nanti.

Para peminat sukan tempatan enggan lagi menjadi penonton yang bersorak kepada atlet-atlet negara lain apabila meraih kejayaan.

Malah, mereka juga tidak mahu terus diperlekehkan oleh netizen negara serantau seperti Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura dan Filipina yang telah berjaya meraih emas di Sukan Olimpik.

Sandaran paling relevan untuk mengalas tugas besar membawa pulang pingat emas pertama negara diletakkan pada atlet badminton dan basikal trek.

Atlet badminton terutamanya Aaron/ Woi Yik dilihat berpeluang cerah untuk merealisasikan impian berkenaan sekiranya prestasi semasa diambil kira. Malah, kita juga boleh meletakkan harapan emas kepada Azizulhasni.

Dalam keghairahan kita memburu emas pertama, penulis berharap, para peminat sukan negara tidak meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga memberi tekanan kepada atlet yang bersaing di pentas tinggi itu.

Penulis juga berharap netizen di negara ini dapat menjaga kata-kata mereka di dalam media sosial supaya tidak mengganggu konsentrasi para atlet yang bakal bersaing di Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN