ALOR SETAR – Seorang peniaga gerai nasi lemak di pusat bandar ini masih menjual minuman pada harga 30 sen hingga RM1 dengan niat untuk bersedekah kepada pelanggannya.
Razak Mohamed Abdullah, 74, yang sudah 40 tahun berniaga berkata, walaupun menjual secawan teh kosong pada harga 30 sen, teh (50 sen) dan teh ais (RM1), namun dia masih mampu meraih pendapatan lebih RM600 sehari.
“Saya meraih keuntungan daripada jualan nasi lemak yang dijual pada harga RM2.50 sebungkus. Setiap hari lebih 250 bungkus habis. Minuman ini, saya ambil untung sikit sahaja kerana yang lebih saya niatkan jariah untuk pelanggan.
“Alhamdulillah, mungkin berkat berniaga seperti ini saya dan isteri, Fatimah Kamil, 70, mampu menunaikan haji pada 2016 dan dua kali umrah pada 2012 dan 2017,” katanya di sini semalam.
Lebih menarik Razak Mohamed yang dikenali sebagai Pak Daq ini hanya membuka gerai selama dua jam sahaja bermula pukul 6.45 pagi sehingga mendapat jolokan ‘gerai bunian’.
Menurutnya, dia dan isteri bangun pada pukul 2 pagi setiap hari untuk menyiapkan pelbagai jenis lauk bagi jualan nasi lemak.
“Jualan nasi lemak ada ketikanya habis dalam masa satu jam.
“Terdapat 10 jenis lauk isteri buat tetapi paling laris ikan talang, ayam dan gulai udang. Saya berniaga dekat lorong jadi sebelum pukul 8.30 pagi, saya perlu tutup supaya tidak menghalang laluan kereta,” ujarnya.
Tambahnya, dia tidak berniat untuk menaikkan harga minuman tersebut di sebalik kenaikan harga barangan termasuk bahan mentah ketika ini.
“Tidak apalah memang saya niat untuk bersedekah sahaja yang datang makan di sini pun semua pelanggan tetap terdiri daripada pelbagai lapisan daripada kerja pejabat sehingga yang bekerja angkut sampah.
“Saya rasa seronok bila dapat berniaga macam ini kerana saya percaya berkat itu lebih penting daripada untung yang banyak. Lagipun dengan perniagaan ini juga saya dapat membesarkan empat anak saya sehingga ada yang dapat masuk universiti,” jelasnya.
















