JERANTUT – Durian kampung yang luruh pada musim buah kini menjadi antara daya tarikan utama pelancong asing mengunjungi Taman Negara, Kuala Tahan, di sini.
Pelancong dari Belanda, Freek Hendrick Schoodendwaldt, 35, berkata, kunjungan ke Taman Negara bertepatan dengan musim durian yang kini rancak gugur.
Katanya, ketika melangkah ke Kampung Gusai dekat Taman Negara, keluarganya dipelawa untuk menikmati keenakan durian kampung yang sebelum ini sangat asing dengan budayanya.
“Saya dan keluarga pada mulanya sangka buah durian amat sukar dikupas memandangkan durinya sangat tajam serta kulit yang amat tebal.
“Saya terkejut apabila melihat seorang penduduk begitu mudah membelah buah ini dalam tempoh beberapa saat dengan hanya guna sebilah parang.
“Sebelum makan, kami sudah menghidu aroma buah ini dan apabila mula menjamah, isinya amat sedap, manis ditambah pula tekstur ulasnya kekuningan dan kelihatan cantik,” katanya.
Dia yang pertama kali makan durian memberitahu, rasa durian sedap dan dia berulang kali menikmati buah itu dalam tempoh empat hari berada di Taman Negara.
Katanya, dia juga menikmati masakan kampung berasaskan ikan liar Sungai Tembeling campur asam tempoyak dan sayuran pucuk paku.
Pengurus Pemasaran Ismail Travel & Tours Sdn. Bhd. Kuala Tahan, Abdullah Chik berkata, makan durian secara bersantai antara pengisian dalam pakej lawatan pelancong dari negara Eropah di Kampung Gusai dan Jeram Perahu dekat Taman Negara.
“Kebetulan musim durian kampung rancak gugur, kita dedahkan pengalaman baharu lagi unik kepada pelancong luar dengan menikmati durian dan buah-buahan lain,” ujarnya.















