KUANTAN – Tindakan seorang pemuda menjual durian secara biji berbaloi apabila gerai miliknya di Restoran Mr. Patin House dekat Balok, di sini diserbu orang ramai.
Muhammad Rizal Osman, 28, berkata, meskipun menjual durian D13 udang merah atau golden bun pada harga RM100 untuk 12 biji sejak lebih tiga minggu lalu, namun dia sentiasa mengutamakan kualiti.
“Saya jual mengikut biji kerana mahu orang ramai merasai keenakan raja buah ini.
“Saya biasanya tidak meletakkan harga tinggi untuk durian yang dijual. Walaupun begitu, kami tetap memperoleh keuntungan kerana sambutan yang diterima daripada pelanggan amat memberangsangkan,” katanya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak 2021.
Menurutnya, dia boleh menjual pada harga sedemikian kerana berurusan dengan seorang pemilik ladang durian di Senai, Johor yang hanya membekalkan raja buah itu kepadanya.
“Apabila tiba musim durian di Johor, kami sudah ada ladang tetap yang membekalkan durian kepada kami, jadi kami boleh jual pada harga rendah,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, ada juga pelanggan yang ragu-ragu dengan tindakannya menjual durian secara biji dalam kuantiti yang banyak.
“Ada yang kata, mesti buah tidak elok atau buah lama sebab itu jual murah.
“Ada juga yang mengatakan saya dapat jual murah sebab buah bersaiz kecil.
“Tidak dinafikan memang buah kecil kerana kami jual gred B, manakala gred A dijual secara timbang,” katanya.
Ujarnya, dia sangat menitikberatkan kualiti durian yang dijual dan bekalan durian diambil setiap hari bagi memastikan kesegarannya.
Katanya, setiap hari ada lima penghantaran durian yang mana empat kali menggunakan trak pikap dan sekali menggunakan lori.














