KLANG – Sejak lima tahun lalu, lot-lot perniagaan di daerah ini semakin lama semakin dikuasai warga asing yang menjalankan perniagaan termasuk kedai runcit, restoran dan kedai telekomunikasi.
Pantang sahaja ada kedai kosong, pastinya golongan ini yang terdiri daripada warga Bangladesh akan ‘masuk’ dan mula menjalankan perniagaan untuk kaum mereka termasuk penduduk tempatan.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Meru terutama di Taman Dato Bandar mendapati lebih separuh daripada 30 deretan kedai di situ dikuasai warga asing.
Lambakan warga asing ini membuatkan peniaga tempatan berasa terpinggir malah turut menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan penduduk seolah-olah mereka (warga asing) ‘tuan tanah’ manakala warga tempatan ‘menumpang’.
Seorang penduduk, Abdul Hamid Mohd. Hassan, 58, mendakwa, rata-rata warga Bangladesh menguasai aktiviti ekonomi berkenaan dengan memilih premis berhampiran kilang yang dipenuhi warga asing.
Dakwanya, situasi itu berlaku mungkin disebabkan silap warga tempatan yang memberikan peluang atau mengambil keuntungan daripada lesen yang dialibabakan mereka.
“Tidak kisah premis perniagaan itu atas nama penduduk tempatan namun mengapa berikan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan.
“Pantang ada lot kedai kosong, mereka (warga asing) akan terus ‘masuk’ jalankan perniagaan. Kadang-kadang dalam premis itu boleh pecah dua bahagian iaitu di depan kedai runcit, belakang pula kedai makan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Abdul Hamid mendakwa, kehadiran mereka mula dikesan sejak lima tahun lalu sebelum terus menguasai lokasi terutama deretan kedai di taman ini.
“Mereka ‘sewa’ berhampiran kawasan perumahan sekali gus menjadikan penduduk tempatan mendapatkan barangan. Jadi, perniagaan mereka akan terus hidup,” dakwanya.
Bagi penduduk lain, Aziz Deraman, 40, mendakwa, tindakan peniaga tempatan menggunakan perkhidmatan warga asing bagi membantu perniagaan mereka secara tidak langsung merugikan pekerja warga tempatan.
“Malah terdapat warga asing dijadikan proksi perniagaan yang secara langsung mendedahkan warga asing terhadap pembekal dan rangkaian dalam corak perniagaan di negara ini.
“Lama kelamaan, mereka akan membuka perniagaan sendiri yang beroperasi secara haram susulan mengetahui sumber bekalan barangan runcit khususnya,” dakwanya.
Seorang peniaga dikenali Zaman Ali, 40, mendakwa, tindakan warga asing menawarkan khidmat hutang kepada pelanggan selain penghantaran ke rumah menjadikan perniagaan mereka terus menjadi pilihan.
“Maka, tidak mustahil mereka boleh ‘relevan’ dan diminati segelintir penduduk tempatan. Sekarang ini pun kita lihat kelompok mereka semakin monopoli operasi perniagaan meskipun tiada lesen atau permit diberikan kepada warga asing.
“Segelintir kita terlalu ‘bertoleransi’ dan akhirnya menerima kehadiran mereka sebagai salah satu ‘komuniti’ perniagaan,” ujarnya.














