PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menyeru umat Islam agar berwaspada dengan kepelbagaian ajaran dan fahaman agama Islam yang boleh memecahbelahkan perpaduan ummah.
Baginda bertitah, agama Islam yang diamalkan di negara ini adalah berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
Namun begitu, menurut pemerhatian baginda telah wujud banyak fahaman dan ajaran Islam yang berbeza. Sudah jadi macam rojak.
“Ini semua akan memecahbelahkan umat Islam. Janganlah kita dibodoh-bodohkan dengan ajaran oleh pihak yang ada kepentingan sendiri.
“Jika keadaan ini berterusan, macam mana umat Islam hendak bersatu? Awak semua fikirlah betul-betul. Saya cuma boleh ingatkan sahaja, awak semua buat pilihan,” titah Baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini.
Berangkat sama mengiringi Sultan Ibrahim, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengajak rakyat menjadikan semangat hijrah sebagai landasan hidup masyarakat yang bersaudara dan bersatu padu, serta terus berusaha untuk mencapai kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan negara.
“Jika kita selami dan hayati peristiwa tersebut, hijrah itu bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi lebih kepada perubahan mental dan spiritual untuk mencari kehidupan yang lebih baik dan mengharapkan keredhaan Allah SWT,” titah Baginda. – KOSMO! ONLINE














