BARU-BARU ini, keputusan permohonan ke menara gading bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan.
Di media sosial, ramai anak muda berkongsi tentang keterujaan untuk memulakan fasa baharu kehidupan mereka.
Perubahan daripada dunia persekolahan kepada pengajian tinggi pasti menyajikan cabaran berbeza.
Lebih-lebih lagi buat mereka yang baru pertama kali meninggalkan rumah atau kampung halaman untuk merantau ke luar.
Pada minggu ini, Horizon akan berkongsi tip persediaan memasuki alam pengajian tinggi buat pembaca.
Selidik tentang silibus kursus yang diterima
Semak sukatan pelajaran atau bahan kursus yang digunakan oleh pusat pengajian anda.
Sediakan bekalan yang diperlukan seperti buku nota, pen, komputer riba dan buku teks.
Dapatkan ‘planner’ atau gunakan kalendar digital untuk menyusun jadual kelas anda nanti.
Persediaan kemahiran hidup
Bagi yang tidak pernah tinggal di asrama sepanjang zaman sekolah, pastikan anda bersedia untuk berdikari di kampus.
Ini termasuk mempelajari cara memasak resipi mudah, basuh baju, pengurusan kewangan dan penyediaan jadual harian.
Tidak lupa, bina hubungan dengan profesor, penasihat dan golongan profesional dalam bidang anda.
Buat persediaan dari segi logistik
Kenal pasti lokasi kampus sama ada ia memiliki akses kepada kemudahan atau keperluan harian.
Ketahui juga jarak antara asrama dan fakulti supaya anda boleh merancang perjalanan ke kelas pada hari pertama nanti.
Dari situ, anda boleh merancang perbelanjaan serta persediaan yang diperlukan sewaktu tinggal di kampus nanti.
Sediakan dokumen yang diminta
Pastikan semua borang dan dokumen yang diperlukan oleh universiti dilengkapkan serta dihantar tepat pada masanya.
Semak pakej bantuan kewangan anda dengan teliti dan fahami jenis bantuan yang diterima (geran, pinjaman atau biasiswa).
Sentiasa semak e-mel universiti dan mana-mana portal pelajar untuk mendapatkan kemas kini dan pengumuman penting.
Persediaan sosial dan emosi
Pelajar universiti terdiri daripada pelbagai latar belakang, jadi anda perlu bersikap terbuka untuk mempelajari budaya serta perspektif berbeza.
Sertai kumpulan atau forum media sosial universiti untuk berkenalan dengan rakan sekelas atau satu asrama.
Amalkan teknik pengurusan tekanan seperti meditasi, jurnal atau bercakap dengan rakan dan keluarga sekiranya tertekan disebabkan persediaan ke menara gading.
















