fbpx
SEORANG peniaga mampu menghabiskan jualan lebih 10 tan buah durian pelbagai jenis yang dibawa dari Muar di ge­rainya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di Kota Bharu setiap hari.

Durian murah hanya untuk peminat sejati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peniaga-peniaga durian kini tidak menang tangan apabila gerai mereka diserbu ramai penggemar raja buah itu setiap hari, malah bekalan buah habis dijual dalam tempoh yang singkat sahaja.

Ramai penggemar durian sanggup menunggu lebih awal sebelum gerai dibuka untuk membeli pelbagai jenis durian kerana bimbang kehabisan bekalan terutama durian ‘kayangan’ seperti musang king.

Di Kota Bharu, Kelantan, seorang peniaga mampu menghabiskan jualan lebih 10 tan buah durian pelbagai jenis yang dibawa dari Muar, Johor di ge­rainya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian setiap hari.

Orang ramai mula datang membeli buah durian di gerai Wan Mohd. Faizal Wan Mohd.Nor, 42, seawal pukul 8 pagi sebaik sahaja premisnya mula dibuka sejak seminggu lalu.

Wan Mohd. Faizal berkata, permintaan tinggi itu berikutan dia mengadakan promosi de­ngan jualan durian kampung pada harga RM50 sebakul, malah pembelian melebihi 10 kilogram (kg) akan mendapat potongan harga sebanyak RM20.

Menurutnya, selain durian kampung, durian udang merah yang dijual pada harga RM25 sekilogram dan musang king iaitu RM65 sekilogram turut mendapat permintaan pelanggan.

“Sebanyak 10 tan durian dari Muar habis dijual setiap hari. Bekalan durian berkualiti itu sampai di gerai saya pada setiap awal pagi.

“Ramai pelanggan datang ke sini sejak seminggu lalu. Ada yang membeli buah durian untuk dibawa pulang, malah ada yang terus makan di gerai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di gerainya di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian, di sini semalam.

PELBAGAI jenis durian termasuk musang king yang baru sampai dari kebun untuk dijual di kedai milik Tengku Rezza di Bentong semalam.

Tambahnya, sebelum ini, dia memperoleh bekalan durian dari Thailand dan Perak, namun durian dari Muar menjadi pilihannya kerana mempunyai bekalan yang banyak.

Katanya, durian dari Muar mempunyai kualiti sama dengan durian dari negeri-negeri lain.

“Kebanyakan yang datang membeli durian adalah pelanggan tetap saya. Mereka berpuas hati dengan bekalan durian dari negeri tersebut,” ujarnya.

Di Bentong, Pahang, durian musang king Raub terus menjadi rebutan apabila menyaksikan kira-kira 500 kilogram (kg) durian itu habis dijual dalam tempoh 20 minit di sebuah kedai.

Durian segar yang sampai dari ladang itu habis dalam ‘sekelip mata’ apabila orang ramai menyer­bu kedai itu dan membeli dalam jumlah yang banyak.

Penjualnya, Tengku Rezza Tengku Abdul Razak berkata, dia menjual durian musang king Raub dengan harga serendah RM23 sekilogram sehingga menjadi rebutan ramai.

Katanya, meskipun buah baru gugur dan tidak banyak, dia tetap menjual dengan ‘harga kasih sa­yang’ bagi menghargai pelanggan yang membeli dengannya setiap kali musim buah.

“Kali ini buah musang king tidak banyak lagi dan saya hanya dapat 500 kilogram sehari, jadi siapa cepat dia dapat dan saya tidak mahu main harga.

“Ada yang menempah awal dan ada juga yang sanggup me­nunggu di kedai saya awal-awal lagi untuk membeli musang king Raub yang mempunyai rasa lebih sedap berbanding durian di tempat lain,” ujarnya.

Menurutnya, dia menjangkakan pertengahan bulan depan lebih banyak durian musang king Pahang khususnya dari Raub akan berada di pasaran, sekali gus menyaksikan harga yang le­bih murah.

Sementara itu, seorang pembeli dari Gombak, Selangor, Rafiq Abdullah, 42, berkata, meskipun terdapat musang king dari negeri lain, dia tetap mencari buah dari Pahang terutama Raub yang menepati cita rasa.

Katanya, dalam keadaan durian musang king Raub baru luruh, dia tidak membeli di tempat lain termasuk di Lembah Klang kerana bimbang ditipu penjual.

“Saya sanggup datang ke Bentong kerana sudah biasa beli di sini dan saya yakin ia adalah buah musang king Raub.

“Bagi penggemar durian, rasa dan keenakan musang king Raub memang tiada tandingan dan ia adalah nombor satu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN