fbpx
SURAU Buluh mempunyai reka bentuk cangkerang penyu yang merupakan haiwan sinonim Terengganu.

Surau buluh bentuk penyu tarikan baharu Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK seperti kelaziman rumah ibadah Islam terdapat di negara ini, reka bentuk surau yang dinamakan Surau Buluh ini diperbuat sepenuhnya daripada keratan buluh sekali gus menonjolkan keunikannya yang tersendiri.

Surau Buluh yang terletak di Kampung Banggol Tiang Kulat, Kuala Nerus, Terengganu tersebut merupakan satu-satunya rumah ibadah Islam bukan sahaja di negara ini, malah Asia yang diperbuat sepenuhnya daripada bahan semula jadi iaitu buluh.

Tambah unik, reka bentuk surau itu mirip cangkerang penyu yang merupakan haiwan reptilia sinonim dengan Terengganu.

Pembinaan Surau Buluh merupakan inisiatif Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Nerus yang memulakan pembinaannya pada tahun 2021.

Bekas Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Abdul Rafa Tan berkata, Surau Buluh bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah bagi penduduk setempat malah merupakan projek kajian dan pembangunan (R&D) MTIB.

Jelas beliau, projek R&D terbabit merupakan inisiatif MTIB untuk mempromosikan buluh sebagai bahan binaan selain membangunkan Manual Aplikasi Buluh dalam industri pembinaan.

“Hampir 80 peratus struktur binaan diperbuat daripada keratan buluh pelbagai spesies.

“Hanya 20 peratus menggunakan konkrit pada bahagian tapak dan tembok sebagai pemegang asas tiang utama bangunan,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Surau Buluh diperbuat daripada jenis-jenis buluh yang hanya terdapat di Terengganu.

Abdul Rafa memberitahu, pembinaan surau terbabit menggunakan buluh spesies betong, semantan, brang dan mata rusa yang hanya boleh didapati di Terengganu.

Tambah beliau yang bersara daripada perkhidmatan awam baru-baru ini, anyaman keratan buluh madu atau nama saintifiknya Thyrsocalamus liang juga digunakan bagi menambah seri dinding ruangan imam.

“Struktur Surau Buluh ini seluas kira-kira 232.26 meter persegi. Selain ruang solat muslimin dan muslimat, ia juga dilengkapi kemudahan tandas dan wuduk.

“Premis tersebut turut mempunyai kemudahan pejabat dan stor penyimpanan,” katanya.

Abdul Rafa berkata, pembinaan Surau Buluh berkenaan berkonsepkan organik dan memiliki kubah terbuka.

Jelas beliau, kubah itu bagaimanapun boleh ditutup dengan dinding mudah buka.

“Sifat semulajadinya membuatkan penjagaan berkala sangat penting dalam memastikan ketahanan dan memanjangkan jangka hayatnya.

“Saya percaya penjagaan yang betul mampu memastikan struktur Surau Buluh bertahan sehingga lebih 10 tahun,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Pejabat Daerah Kuala Nerus, Nur Hidayatul Hanis Zulkifli berkata, idea pembinaan Surau Buluh bermula pada tahun 2020 sebelum permohonan pembinaan diluluskan kira-kira setahun kemudian.

Nur Hidayatul Hanis berkata, pembinaan surau ikonik terbabit telah siap sepenuhnya pada Januari lalu sebelum dibuka untuk kunjungan ramai pada Ramadan baru-baru ini.

“Setakat ini, Surau Buluh dibuka untuk kunjungan dan bersolat di dalamnya. Ia boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa.

“Saya difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) sedang menguruskan pelantikan jawatankuasa surau,” katanya.

Nur Hidayatul Hanis percaya penubuhan jawatankuasa surau terbabit akan menjadikan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan bagi mengimarahkan Surau Buluh lebih tersusun.

Ujar beliau, lokasi Surau Buluh yang terletak di tengah-tengah Pusat Perniagaan Komersial Wakaf Tembusu menjadikan ia strategik dan tarikan pelancongan baharu bukan sahaja Kuala Nerus, malah Terengganu.

“Surau Buluh juga berpotensi menjadi pusat kajian dan pembelajaran pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya jurusan seni bina.

“Setakat ini, berapa penyelidik dan pelajar IPT telah melakukan kunjungan untuk mengkaji penggunaan buluh sebagai bahan asas utama bangunan,” katanya.

Salah seorang pengunjung, Mohd. Ameerudin Zakaria, 44, berkata, dia teruja untuk menziarahi Surau Buluh selepas mengetahui kewujudannya di media sosial.

Dia berkata, keunikan seni binanya pasti menggamit kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa.

“Kedudukannya strategik kerana mudah diakses dan terletak berhampiran premis perniagaan, pasar raya besar, gerai makanan dan gelanggang futsal.

“Tidak lengkap kunjungan sekiranya tidak menunaikan solat fardu mahupun sunat di dalam Surau Buluh ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN