fbpx
DI belakang Syikin, suaminya bermain cinta dengan rakan sekerja. – Gambar hiasan

K2

Kecewa suami curang dengan rakan sekerja ketika PJJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPERTI wanita lain-lain di luar sana, Syikin (bukan nama sebenar) amat gembira dan bersyukur kerana dapat mendirikan rumah tangga bersama teman lelaki yang dicintainya.

Dia dan teman lelakinya itu mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan sebaik sahaja kedua-duanya tamat pengajian.

“Rezeki kami berdua apabila masing-masing dapat bekerja dalam sektor awam setelah berkahwin.

“Bagaimanapun, kami berdua tidak dapat untuk tinggal bersama kerana masing-masing bertugas di negeri yang berbeza,” katanya kepada K2.

Syikin harus bertugas di sebuah negeri di utara Semenanjung, manakala suaminya bekerja di Lembah Klang.

Dia mengakui untuk menelan hakikat terpaksa menjalinkan perhubungan jarak jauh (PJJ) setelah berkahwin bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana, dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri sepenuhnya.

Hubungannya bersama dengan suaminya baik-baik sahaja meskipun mereka sering berjauhan.

Ada ketikanya Syikin akan datang untuk bertemu suaminya pada cuti hujung minggu.

Namun, rupa-rupanya di belakang Syikin, suaminya itu sebenarnya ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain tanpa pengetahuannya.

“Saya hanya mengetahui bahawa suami saya ada menjalinkan hubungan dengan wanita lain setelah dihubungi oleh seorang individu di media sosial saya.

“Individu itu adalah kakak kepada wanita yang menjalinkan hubungan dengan suami saya.

“Dia menghubungi saya dan menyatakan suami saya ada menjalinkan hubungan dengan adiknya dan mereka berdua adalah rakan sekerja,” ujarnya.

Sebenarnya, kakak kepada wanita itu menyatakan bahawa adiknya tidak mengetahui bahawa lelaki tersebut sudah bersuami dan berkahwin dengan Syikin.

Suaminya mengaku kepada wanita itu bahawa dia masih belum berkahwin dan mereka sering keluar bersama.

Malah, suaminya sering menghantar wanita itu pulang ke rumah selepas bekerja dan hubungan mereka diketahui oleh keluarga wanita tersebut.

“Semua penipuan suami saya terbongkar selepas keluarga wanita itu menemui media sosial saya dan melihat gambar saya bersama suami saya.

“Hal tersebut yang membuat kakak kepada wanita itu menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan.

Syikin mengetahui kecurangan suaminya apabila kakak kepada skandal suami menghubunginya di media sosial. – Gambar hiasan

“Dia tidak mahu adiknya menjadi punca kepada masalah rumah tangga orang lain,” jelas Syikin yang kini berusia pertengahan 20-an.

Syikin mengakui dia amat terkejut sekali dan tidak menyangka suami tercinta sanggup berlaku curang di belakangnya.

Ketika itu baru dia sedari patutlah suaminya kadangkala lambat untuk menjawab panggilan telefon atau membalas pesanan yang dihantar Syikin.

Dia kemudian terus mengambil cuti dan pergi bertemu dengan suaminya untuk meminta penjelasan.

“Pada mulanya suami saya tidak mengaku dia curang di belakang saya dan dia kata saya ini terlalu fikir berlebihan memandangkan kami tinggal berjauhan.

“Sebaik sahaja saya menyebut nama wanita itu dan menunjukkan apa yang dikatakan oleh kakak wanita itu, wajah suami saya terus berlainan dia seakan panik,” jelas Syikin.

Akhirnya, suaminya mengaku dan menyatakan dia berbuat demikian kerana berasa sunyi memandangkan mereka berdua tinggal berjauhan.

Remuk hati Syikin apabila mendengar pengakuan suaminya itu dan kepercayaannya selama ini terhadap lelaki yang dicintainya itu sejak di universiti hilang.

Dia kemudiannya pulang ke tempatnya bekerja dan cuba mendiamkan diri daripada suaminya.

Meskipun suaminya itu ada menghubunginya, Syikin tidak menjawab dan mereka berdua tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

“Akhirnya suami saya datang ke tempat tinggal saya dan dia ingin menyelesaikan masalah kami berdua.

“Suami saya mengakui dia amat mencintai wanita tersebut dan dia ingin menjadikan wanita itu sebagai isterinya yang sah.

‘Dia memberi pilihan kepada saya sama ada untuk terus bersamanya dan menerima keputusannya untuk berpoligami atau saya boleh juga memilih untuk dilepaskan,” jelasnya.

Luluh hati Syikin kerana menyangka suaminya datang untuk memperbaiki hubungan mereka tetapi sebaliknya yang berlaku.

Akhirnya pada ketika itu juga, dia terus mengambil keputusan nekad untuk meminta dilepaskan.

“Saya tidak boleh terima apa yang suami saya lakukan itu dan sudah pasti dia akan melebihkan wanita itu setelah mereka berkahwin berbanding saya.

“Saya bukan wanita yang lemah. Saya juga memiliki kerjaya, rupa paras dan saya berhak untuk dicintai oleh seorang lelaki yang mencintai saya sepenuh hatinya dan bukannya memilih untuk menduakan saya,” katanya.

Tambah Syikin, setelah hampir dua tahun berkahwin, akhirnya Syikin dan suami sah berpisah di sebuah mahkamah syariah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN