PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengeluarkan arahan larangan penutupan lorong bagi kerja-kerja selenggara jalan bermula 12 sehingga 19 Jun 2024 sempena cuti Hari Raya AidilAdha nanti.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, itu antara langkah jangka pendek bagi mengatasi kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan.
“Kerajaan prihatin dengan kesesakan yang dihadapi pengguna lebih raya terutama ketika hujung minggu, musim dan cuti umum yang panjang.
“KKR mempunyai perancangan jangka panjang, pendek dan sederhana bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya tiap kali tiba musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan projek laluan susur di Presint 15, di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, hanya kerja-kerja kecemasan sahaja dibenarkan dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.
Alexander berkata, selain arahan larangan penutupan lorong, pihak konsesi turut mengaktifkan pelaksanaan smart lane (kebenaran penggunaan bahu jalan) di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar. – KOSMO! ONLINE














