SEKALIPUN peluang dilihat tidak begitu memihak kepada Romania pada saingan Euro 2024, mereka masih mempunyai jiwa besar untuk memperbaharui pencapaian terbaik sejak lima penampilan di saingan Euro sebelum ini.
Edisi 2000 pastinya menjadi detik paling diingati kerana berjaya mara ke suku akhir, manakala selebihnya sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
Pengendali pasukan, Edward Iordanescu turut mengakui yang anak buahnya sentiasa ada kemahuan untuk mencipta sejarah baharu buat negara itu.
“Pertama sekali saya perlu tekankan yang kredit wajar diberikan kepada seluruh pasukan kerana mampu layak ke saingan Euro 2024. Percayalah kami sudah pun mengharungi pelbagai kesukaran, tekanan dan kekecewaan sepanjang perjalanan untuk layak ke pusingan akhir.
“Kami perlu terus berusaha dan laksanakan tugas dengan betul bagi memastikan pasukan ini berada di landasan tepat. Saya sendiri dihimpit emosi dengan setiap keputusan yang dicapai.
“Tetapi, sekarang tumpuan lebih terarah kepada pertandingan sebenar dan pasukan kami sudah membuktikan yang Romania memiliki potensi.
“Sekarang kami perlu terus melihat ke depan dan sekarang kami perlu terus memecut laju. Kami sudah berada di 100 meter terakhir dan saya mahu teruskan cerita kejayaan kami di Jerman,” katanya.
Apa yang diperkatakan oleh Iordanescu seakan ada asas ketika Romania kekal dengan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan pusingan kelayakan, malah berjaya mengatasi pasukan lebih baik seperti Switzerland.
Pencapaian itu juga pastinya sudah berikan amaran buat pencabar lain yang Romania kini memiliki aura tersendiri dan mampu mencipta kejutan sekiranya cabaran mereka hanya dipandang rendah.
Berdasarkan senarai pemain, hanya Radu Dragusin yang cukup dikenali khususnya peminat kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur dan kualitinya begitu ditagih untuk perkuatkan benteng pasukan.
Sejak mengambil alih pasukan pada Januari 2022, Iordanescu seakan sudah mampu ‘memenangi’ hati pemain dan tumpuan pasti akan terarah kepadanya untuk cuba cipta kejutan pada penampilan kali ini.
Jurulatih itu juga mempunyai misi besar untuk mengekalkan legasi baik yang pernah dicipta bapanya, Anghel Iordanescu bersama Romania.
INFO
JURULATIH: Edward Iordanescu
GELARAN: The Tricolours
PENCAPAIAN: Suku akhir (2000)
RANKING: No. 46 dunia
KUMPULAN: E (Belgium, Slovakia, Ukraine)
SENARAI PEMAIN
PENJAGA GOL
Florin Niță (Gaziantep)
Horațiu Moldovan (Atlético Madrid)
Ștefan Târnovanu (FCSB)
Răzvan Sava (CFR Cluj)
PERTAHANAN
Nicușor Bancu (Universitatea Craiova)
Andrei Burcă (Al-Okhdood)
Ionuț Nedelcearu (Palermo)
Adrian Rus (Pafos)
Andrei Rațiu (Rayo Vallecano)
Radu Drăgușin (Tottenham Hotspur)
Vasile Mogoș (CFR Cluj)
Bogdan Racovițan (Raków Częstochowa)
TENGAH
Nicolae Stanciu (Damac)
Răzvan Marin (Empoli)
Alexandru Cicâldău (Konyaspor)
Ianis Hagi (Alavés)
Dennis Man (Parma)
Valentin Mihăilă (Parma)
Marius Marin (Pisa)
Darius Olaru (FCSB)
Deian Sorescu (Gaziantep)
Florinel Coman (FCSB)
Adrian Șut (FCSB)
Constantin Grameni (Farul Constanța)
PENYERANG
George Pușcaș (Bari)
Denis Alibec (Muaither)
Denis Drăguș (Gaziantep)
Daniel Bîrligea (CFR Cluj)














