BRUSSELS – Pengendali Belgium, Domenico Tedesco mengakui beliau mempelajari sesuatu daripada kemenangan 2-0 ke atas Montenegro pada aksi persahabatan di Stadium King Baudouin awal pagi tadi.
Ia menjadi perkembangan positif buat Belgium yang turut menyaksikan bintang utamanya, Kevin De Bruyne berjaya menyumbangkan satu gol pada penampilan kali ke-100 bersama Red Devils.
“Banyak benda saya belajar daripada perlawanan ini dan perubahan yang saya lakukan. Agak sukar untuk kami mengekalkan struktur permainan di babak kedua.
“Kami berdepan kesukaran namun segalanya bertambah baik selepas aksi memasuki minit ke-75,” kata Tedesco yang turut memuji ketangkasan penjaga gol Montenegro, Matija Sarkic.
Selain jaringan De Bruyne, bintang Arsenal, Leandro Trossard menutup perlawanan dengan menyumbangkan satu lagi gol buat Belgium menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak kedua.
Ini juga adalah penampilan pertama De Bruyne sejak lebih setahun yang menyaksikannya sebelum ini dihimpit masalah kecederaan hamstring
“Saya gembira untuk kembali dan pastinya sesuatu yang manis untuk saya melakukan penampilan ke-100 bersama Belgium. Ini adalah permulaan yang bagus dan paling penting adalah mendapatkan rentak terbaik,” kata De Bruyne. AGENSI














