PENTAS pertunjukan fesyen merupakan masa terbaik bagi seorang pelajar jurusan fesyen untuk menampilkan rekaan yang dihasilkan mereka.
Sekumpulan pelajar jurusan fesyen dari sebuah universiti swasta di ibu kota teruja apabila diberi peluang untuk mempamerkan busana rekaan mereka di pentas peragaan
GMBB Bukit Bintang, Kuala Lumpur minggu lalu yang merupakan pertunjukan fesyen sempena projek akhir mereka.
Pelajar tahun akhir jurusan fesyen Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) mempamerkan koleksi rekaan pakaian menerusi sebuah pertunjukan yang diberi nama Ideosphere.
Ia menampilkan rekaan daripada 12 pelajar yang menggabungkan sisi kreatif dan berani mereka.
Salah seorang pelajar, Mandy Dulus berkata, nama Ideosphere itu diambil daripada dua buah perkataan.
“Ideo bermaksud idea, manakala sphere pula membawa maksud empayar.
“Apabila digabungkan bersama, Ideosphere bermaksud perkongsian empayar yang terhasil daripada idea dan kepercayaan manusia, yang digabungkan bersama visi dalam fesyen,” katanya.
Dalam acara yang berlangsung selama tiga jam itu, sebanyak 72 busana telah dipertontonkan kepada umum yang dihasilkan sepenuhnya oleh pelajar tahun akhir TAR UMT.
Acara dimulakan dengan pertunjukan rekaan serba hitam yang dihasilkan oleh Liz Lier Xin Ying yang diberi nama Indestructible Rock: Not Able to be Destroyed.
Ujar Xin Ying, rekaan itu mengambil inspirasi daripada batuan di kawasan gunung berapi.
“Batuan gunung berapi adalah antara jenis batu yang paling biasa ditemui di bumi ini, di dalam lautan.
“Jika dilihat, kehidupan kita ini diibaratkan seperti batuan gunung berapi di lautan kerana biarpun kerap dipukul ombak, ia tetap kuat dan bertahan.
“Maka rekaan ini adalah bagi menterjemahkan satu ‘kuasa’ yang tidak akan berputus asa dan sukar untuk dimusnahkan,” kongsinya.
Bagi Nurul Nabila Aishah Mohd. Farid pula, rekaan bertajuk Lamella’s: mushroom yang dihasilkannya adalah diinspirasikan daripada kulat dan cendawan.
Menurut Nurul Nabila, kulat dan cendawan melambangkan pertumbuhan yang pantas dan juga perubahan.
“Menerusi koleksi ini, saya mahu meraikan keindahan sesuatu evolusi dan menggalakkan seseorang individu untuk meraikan transformasi diri dengan penuh yakin,” katanya yang memilih warna putih sebagai warna tema bagi rekaannya.
Hew Zi Lin pula mencuri perhatian menerusi koleksinya yang diberi nama Mirroring menterjemah rekaan yang menggabungkan interaksi dinamik antara realiti dan fantasi.
“Interaksi dinamik antara realiti dan fantasi ini menimbulkan persoalan falsafah tentang sifat kewujudan, identiti dan kesan teknologi terhadap persepsi manusia.
“Ia melambangkan kesalinghubungan yang mendalam antara dua alam, mengaburkan sempadan antara apa yang nyata dan apa yang dibayangkan,” terangnya yang memilih gabungan warna hitam dan kelabu bagi rekaan tersebut.














