JITRA – Tidak hanya lembu baka tempatan, lembu-lembu baka ‘kayangan’ juga merupakan antara haiwan yang menjadi pilihan untuk dijadikan korban sempena Aidiladha, terutamanya oleh golongan berkemampuan dan ternama (VIP).
Menurut Pengurus Fatimah MZ Agro Farm, Mohamad Alias Zainol Abidin, lembu-lembu jenis brahman, charolais dan limosin itu mula menjadi perhatian golongan berkemampuan sejak kebelakangan ini berikutan jumlah dagingnya yang banyak.
Sehubungan itu, katanya, golongan berkenaan berpeluang untuk mengedarkan lebih daging kepada lebih ramai orang ketika menunaikan ibadah tersebut.
“Disebabkan permintaan daripada pembeli, kami mula membawa masuk lembu-lembu jenis brahman, charolais dan limosin ini sejak tiga tahun lalu dari Australia. Biasanya lembu-lembu jenis ini menjadi pilihan golongan kenamaan sempena Aidiladha.
“Namun, tahun ini, ada juga sebuah keluarga yang tinggal berdekatan sini menempah lembu tersebut sempena Aidiladha. Untuk lembu jenis brahman dan Charolais, harganya dianggarkan lebih RM10,000 seekor, manakala untuk baka limosin pula, harganya kira-kira RM12,000 seekor,” katanya ketika ditemui di ladangnya dekat Batu 13, Jalan Sintok dekat sini semalam.
Tambah Mohamad, selain lembu-lembu jenis ‘sado’ itu, syarikatnya turut menawarkan lebih 200 ekor lembu baka tempatan untuk dipilih mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
“Tetapi lembu-lembu bersaiz besar dari jenis brahman, charolais dan limosin ini perlu diasingkan dari baka tempatan. Jika tidak, lembu-lembu bersaiz besar itu berpotensi mencederakan lembu tempatan yang bersaiz lebih kecil,” katanya.
Mengulas lanjut Alias berkata, syarikatnya menyediakan lokasi penyembelihan di ladang, pembungkusan serta pengagihan kepada golongan asnaf bagi memudahkan mereka yang berhajat menunaikan ibadah korban.
“Semua lembu-lembu tersebut termasuk lembu kayangan yang ‘sado’ itu boleh disembelih di tempat kami dan diuruskan oleh kakitangan terlatih,” katanya.
Tambah beliau, pihak yang melaksanakan ibadah korban itu boleh datang melihat sendiri proses penyembelihan berlangsung dan membawa pulang dagingnya untuk diagihkan kepada pihak yang sepatutnya.















