PETALING JAYA – Membesar dalam keluarga serba kekurangan selain berdepan pelbagai ujian kesihatan tidak menjadi penghalang untuk para pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan di seluruh negara semalam.
Lebih membanggakan apabila kejayaan itu turut dikongsi bersama ibu bapa yang selama ini berkorban tenaga dan wang ringgit bagi memastikan mereka menjadi pelajar terbaik SPM.
Di Pontian, Johor, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung, Benut, Muhammad Faris Basuri, 18, membuktikan tanpa kemudahan komputer, dia masih mampu meraih keputusan 9A.
Anak kepada pasangan pekebun sawit, Basuri Sarbun, 62, dan Sanah Sirin, 53, itu berkata, dia hanya menggunakan telefon bimbit untuk mencari sebarang maklumat mengenai sesuatu mata pelajaran jika ada masalah.
“Ayah baru sembuh daripada penyakit yang dihidapi tiga bulan lalu dan dia hanya memperoleh pendapatan RM600 sebulan selain menerima elaun orang kelainan upaya (OKU) sebanyak RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Untuk mempunyai sebuah komputer mungkin sukar, namun bertekad untuk membuktikan saya mampu berjaya,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Salleh, Benut, di sini.
Menurut Muhammad Faris, dia hanya mengulang kaji pelajaran selama tiga jam iaitu selepas solat maghrib sebelum masuk tidur selain tidak pernah ponteng kelas tambahan.
Di Jerantut, Pahang, anak penjual air batu campur (ABC) yang juga pelajar SMK Inderapura, Muhammad Izwan Hanif Lelaham, 18, turut memperoleh 10A dalam SPM.
Bapanya, Lelaham Hissin, 54, berkata, dia berbangga dan bersyukur kerana kerja kerasnya sebagai penjual ABC untuk pendidikan anak akhirnya membuahkan hasil.
“Saya hanya penjual ABC, pendapatan tidak seberapa dan sebab itu saya sering mengingatkan anak supaya belajar bersungguh kerana pendidikan dapat mengubah kehidupan.
“Ini adalah ganjaran Allah kerana atas setiap kerja yang dilakukan kami,” ujarnya.
Di George Town, Pulau Pinang, tiada apa yang dapat diluahkan seorang ibu selain bersyukur apabila dua anaknya cemerlang dalam SPM.
Azizah Abdul Wahab, 43, berkata, Muhammad Huzaifah Raja Siraj Mohideen, 18, memperoleh 7A, manakala Nur Husnina, 18, pula cemerlang dengan 8A.
“Kami bukan orang senang dan suami suami pula menghidap parkinson. Selain itu, anak-anak langsung tidak mengikuti kelas tuisyen dan hanya belajar sendiri,” katanya.
Di Tumpat, Kelantan, seorang pelajar yang dilahirkan dengan kecacatan fizikal pada bahagian tulang belakang masih mampu meraih keputusan 9A.
Mohamad Alif Ikhwan Mat Nawi, 18, yang merupakan pelajar SMK (Agama) Falahiah, Pasir Pekan berkata, kejayaan ini adalah hadiah untuk ibunya, Zaini Mohamed, 57, yang banyak berkorban selepas kematian bapa dua tahun lalu.
“Ibu akan hantar saya ke sekolah setiap pagi dengan motosikal dan kakak pula akan mengambil saya semasa pulang.
“Saya bergerak menggunakan kerusi roda di sekolah dan bersyukur apabila rakan-rakan banyak membantu,” katanya.
Di Sungai Petani, Kedah, pengorbanan dan kecekalan seorang ibu dalam menyara keluarga selepas bapa terlantar akibat strok menjadi pendorong kepada Muhammad Muzzammil Muhamad Yusuff untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.
Pelajar Maktab Mahmud Alor Setar itu yang memperoleh 11A itu berkata, dia sangat tersentuh dengan kepayahan dilalui ibunya, Haslinda Omar, 42, yang terpaksa menjaga bapa, Muhamad Yusuff Ahamad, 43.
“Saya sedih melihat keadaan ayah dan pada masa sama tersentuh dengan kepayahan ibu mencari pendapatan tambahan dengan berniaga dan bekerja sebagai pembantu klinik buat keluarga.
“Namun itulah yang menjadi pembakar semangat kepada saya untuk berjaya dalam pelajaran.
“Hari ini ayah menangis bila melihat keputusan SPM saya, alhamdulillah saya gembira kerana dapat menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa,” katanya.














